Ir. Izham Hashim

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim menafikan cuba memperdaya beberapa individu supaya memindahkan sejumlah wang ke dalam akaunnya.

Beliau mendakwa, ada pihak telah menggunakan gambar untuk dijadikan profil pada aplikasi Whatsapp bagi tujuan berkenaan.

Katanya, beliau menyedari perkara tersebut setelah dimaklumkan oleh beberapa orang rakannya bahawa mereka ada menerima pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada individu untuk tujuan itu.

“Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah melakukan aktiviti sebegitu rupa.

“Jika ada sesiapa yang menerima mesej atau whatsapp daripada individu yang menyerupai saya segera laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau akan membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membersihkan namanya yang telah tercemar akibat perbuatan tidak bertanggungjawab individu terbabit.

Melalui hantaran di laman sosial itu Izham turut menyertakan bersama tangkap layar perbualan yang dihantar oleh rakan-rakannya berhubung perkara berkenaan.

Beliau turut menasihatkan kepada teman-teman laman sosialnya agar berhati-hati dengan penipuan seperti itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.