Koleksi Sleepyllama yang telah dikeluarkan dua tahun lepas dan Artsy dUCk yang dilancarkan Vivy Yusof malam tadi.

KUALA LUMPUR- Ahli perniagaan terkenal, Datuk Vivy Yusof yang baru sahaja melancarkan koleksi tudung terkini, Artsy dUCk malam tadi didakwa telah menciplak rekaan tudung seorang anak seni tempatan, Sleepyllama.

Sleepyllama mendakwa telah mengeluarkan rekaan yang sama dua tahun lepas.

Vivy bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

Jelasnya, pereka-pereka tudungnya telah berusaha keras untuk menghasilkan rekaan tersebut buat peminat-peminat jenama dUCk.

“Bagi kempen untuk koleksi ini, sementelah ia digelar Artsy dUCk, kami berpendapat sesuai untuk mengadakan tema studio artis.

“Sudah ramai yang membuat tema sebegini tetapi seperti biasalah, jika dUCk yang buat, orang ramai akan berkata, jom boikot dUCk,” katanya dalam satu hantaran di insta story malam tadi.

Koleksi Artsy dUCk dijual pada harga RM200 sehelai.

Terdahulu pereka Sleepyllama atau dikenali sebagai Nia memuat naik hantaran di insta story mendakwa Vivy telah meniru rekaan tudung yang dikeluarkannya dua tahun lepas.

Nina turut memuat naik gambar tudung yang direka beliau dan tudung koleksi Artsy dUCk di insta story berkenaan sebagai perbandingan.

Isu tersebut telah mendapat perhatian warga net dan menjadikan tanda pagar Vivy Yusof dan dUCk trending di Twitter Malaysia pagi ini.

Ini bukan kali pertama usahawan wanita ternama itu terpalit dengan isu ciplak.

Tahun lepas, beliau dikatakan telah meniru rekaan satu jenama turban tempatan yang dikenali Echenta.- MalaysiaGazette