Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menghalau bot berisi 400 pelarian Rohingya adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sepatutnya membantu kepada mereka dan bukannya menghalau mereka kembali ke laut.

“Apa yang patut dilakukan ialah membekal mereka dengan makanan dan minyak supaya mereka dapat pergi ke negara lain atau balik ke Myanmar.

“Kita sepatutnya kecam Myanmar dan Aung San Suu Kyi kerana kezaliman mereka dan bertindak menolak dagangan dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada pertengahan bulan ini, kerajaan Malaysia menghalang kemasukan kapal yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya ke negara ini.

Langkah itu diambil berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, negara perlu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan terhadap Myanmar.

Ini kerana negara itu berlaku zalim terhadap puak minoriti itu sehingga kini.

“Janganlah kita benci kepada orang Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman.

“Negara-Negara Islam dan OIC perlu bertindak untuk menghentikan kezaliman oleh Myanmar,” katanya.

Tambah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, Rohingya perlu pergi ke negara lain kerana jumlah mereka sudah terlalu ramai di Malaysia.

Justeru itu, negara-negara lain digesa umembuka pintu bagi memastikan etnik Rohingya ini dapat lari daripada kekejaman di negara mereka.

“Saya sedar kenapa orang Melayu sekarang begitu benci kepada orang Rohingya. Dahulu mereka benci kepada pelarian dari Vietnam. Pada mulanya orang Melayu bersimpati dengan orang Rohingya. Dan orang Rohingya pun pilih untuk datang ke Malaysia kerana simpati dari kita.

“Tetapi apabila jumlah menjadi begitu ramai dan ada perbuatan pelarian ini yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka simpati bertukar jadi benci,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast