Petugas membuat imbasan suhu kepada pelajar pada pergerakan pulang pelajar institusi pengajian tinggi susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 88 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dibawa balik ke kampung masing-masing dari lima pusat pelepasan yang terdiri daripada IPT di sekitar zon utara untuk pulang ke kediaman masing-masing di zon tengah malam tadi.

Lima pusat pelepasan tersebut ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata, pergerakan pelajar ke lapan destinasi di zon tengah bermula pada jam 9 malam menggunakan perkhidmatan 15 buah bas yang telah disanitasi.

Daripada jumlah tersebut, satu buah bas menuju ke Gombak, dua buah bas ke Putrajaya, dua buah bas ke Hulu
Selangor, satu buah bas ke Klang Utara, tiga buah bas ke Kuala Langat, dua buah bas ke Kuala Selangor, dua buah bas ke Sabak Bernam dan dua buah bas ke Sepang.

Taburan pelajar yang berlepas dari pusat pelepasan IPT membabitkan 37 dari UUM, 17 (UiTM Merbok), 12 dari (UiTM Pulau Pinang), 6 dari (Unimap) dan 16 (USM).

Secara keseluruhannya, satu buah bas menuju ke Kuala Lumpur, 12 buah bas ke Negeri Selangor dan dua buah bas lagi ke Putrajaya.

Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar di Ibu Pejabat Polis (IPD)/Pejabat Daerah yang telah dikenalpasti.

Tambahnya, bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terlibat.

Para pelajar yang bercadang untuk pulang, yang telah memohon kepada pihak IPT untuk pulang serta pelajar yang telah sampai ke destinasi yang dituju diminta untuk mengisi maklumat pemohon, maklumat universiti, alamat semasa dan maklumat destinasi melalui pautan https://iptpulang.malaysia.gov.my/.

Data ini akan menjadi rujukan utama berkenaan usaha pergerakan pelajar IPT di seluruh negara, ujarnya. – MalaysiaGazette