WASHINGTON – Angka kematian koronavirus di Amerika Syarikat (AS) melebihi 58,220 orang, melebihi jumlah rakyatnya yang hilang semasa Perang Vietnam.

Kes jangkitan covid-19 di AS meningkat dua kali ganda dalam 18 hari dan menjadikan satu pertiga daripada semua jangkitan di dunia.

Jumlah kes sebenar dianggap lebih tinggi, dengan pegawai kesihatan awam negeri memberi amaran bahawa kekurangan pekerja terlatih dan kelengkapan menyebabkan keupayaan ujian saringan adalah terhad.

Pakar kesihatan awam mendakwa penarikan semula polisi penjarakkan sosial menjadi punca kepada lonjakan jangkitan.

Kira-kira 30 peratus kes berlaku di New York, pusat wabak AS, diikuti oleh New Jersey, Massachusetts, California dan Pennsylvania.

Angka kematian yang direkodkan di AS akibat wabak ini mencecah 58,233 pada hari Selasa, meningkat lebih dari 2,000 orang berbanding hari sebelumnya.

Wabak itu diramalkan boleh meningkatkan kematian sebanyak 74,000 nyawa menjelang 4 Ogos berbanding unjur awal 67,600 pada 22 April lepas, menurut model ramalan University of Washington.

Di peringkat global, kes koronavirus mencapai 3 juta sejak wabak itu mula dikesan di China akhir tahun lalu.

Amerika Syarikat, dengan jumlah penduduk ketiga terbesar di dunia, mempunyai lima kali lebih banyak kes berbanding Itali, Sepanyol dan Perancis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast