Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kembali beroperasi.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas terhadap peniaga dan penjaja yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengeluarkan arahan kepada Datuk Bandar supaya melaksanakan tindakan segera.

“Saya diberi maklum ada ketidakpatuhan PKP oleh peniaga/penjaja di sekitar pasar borong/Selayang, khususnya oleh warga tertentu. Saya telah mengarahkan DATUK BANDAR supaya segera bertindak dan tegas sekiranya benar berlaku ketidakpatuhan dalam kawasan DBKL/WP,” tulisnya di Twitter.

Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup pada 20 April yang lalu selama empat hari bagi mengawal penularan Covid-19, dalam tempoh itu proses sanitasi juga telah dilakukan.

Kemudian ia mula beroperasi semula pada 24 April yang lalu.

Penutupan itu seiring dengan pengumuman kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar pasar borong itu bermula 19 April hingga 3 Mei depan.

Susulan itu pada 25 April yang lalu, Selayang Baru merupakan PKPD yang ketujuh selepas kerajaan mengambil kira kebarangkalian rantaian jangkitan wabak Covid-19 di Pasar Harian Selayang dari lokasi PKPD keenam iaitu Pasar Borong Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette