Sellepas Belanda dan Belgium, kini Perancis mengambil langkah sama membatalkan musim Ligue 1 dan 2 tanpa pasukan juara.

PARIS – Selepas Belanda dan Belgium, kini Perancis turut mengikut rentak sama membatalkan dua liga teratasnya iaitu Ligue 1 dan Ligue 2 musim ini.

Tindakan itu diambil selepas negara itu melarang segala aktiviti sukan utama termasuk sukan secara tertutup sehingga September ini.

Perdana Menteri Edouard Philippe berkata, dengan keputusan itu, musim Ligue 1 dan 2 bagi 2019/2020 ini sudah berakhir dan dibatalkan.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pelan melonggarkan perintah berkurung Covid-19 pada 11 Mei ini.

Sebelum ini Badan Pemantau Bola Sepak Perancis berharap dapat meneruskan semula baki aksi liga yang tergantung pada 17 Jun ini.

Namun setakat ini belum dipastikan sama ada Bola Sepak Profesional Perancis (LFP) akan membatalkan musim ini tanpa pasukan juara atau penyingkiran berdasarkan keputusan terkini carta liga setakat ini.

Juara bertahan Paris Saint Germain mengungguli carta dengan perbezaan 12 mata berbanding Marseille di tangga kedua Ligue 1 dengan masih berbaki 10 perlawanan lagi.

Pengerusi PSG Nasser Al-Khelaifi dalam reaksi kepada pengumuman itu berkata pihaknya menghormati keputusan kerajaan Perancis dalam soal Covid-19 dan bersedia untuk bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara dengan terikat pada perjanjian bersama UEFA.

“Sekiranya susah untuk bermain di Perancis, kita akan beraksi di luar tertakluk kepada kecergasan terbaik pemain dan kakitangan kami,’ ujarnya.

Sebelum ini LFP bermesyuarat pada 10 April dan mengundi untuk mengembalikan saingan Ligue 1 musim ini.

Bagaimanapun pengumuman Philippe menjelaskan musim sukan profesional tmasuk bola sepak Ligue 1 dan 2 tidak dapat diteruskan..

Dalam perkembangan sama, Kesatuan Bola Sepak Antarabangsa memberikan tempoh sehingga 25 Mei ini untuk setiap liga bola sepak negara Eropah memaklumkan sama ada mereka mahu melengkapkan baki saingan yang tertangguh atau membatalkan terus liga mereka.

Presiden La Liga Sepanyol, Javier Tebas mendakwa beliau tidak faham kenapa bermain bola secara tertutup boleh mendatangkan bahaya sedangkan ia boleh dilaksanakan dengan langkah kesihatan berbanding berhimpun beramai-ramai dan berada di atas bot memancing di laut.

“Di negara lain, latihan bola sepak sudah dibenarkan semula dan itu antara contoh yang patut diambil kira.

“Di Sepanyol, bola sepak merupakan pemain ekonomi yang penting dan perlu diaktifkan semula.

“Oleh demikian kita La Liga akan terus fokus dalam menyambung semula baki saingan liga dengan penuh bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan disyorkan jabatan kesihatan secepat mungkin,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast