27 indiividu dicekup berparti sambutan hari jadi rakan dibawah pengarh alkohol dan dadah di Shah Alam awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 27 individu, termasuk dua orang perempuan, ditahan kerana berhimpun bagi meraikan ulang tahun kelahiran salah seorang rakan mereka tanpa mempedulikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kesemua suspek dicekup pada pukul 3.30 pagi ini menerusi Ops Covid-19.

Katanya, hasil serbuan mendapati mereka mengadakan parti liar dengan sebahagian daripada mereka yang ditahan berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Shah Alam yang terdiri daripada pasukan Khas C19 diketuai Asisten Superintendan Hamizi Abu Bakar telah menyerbu sebuah apartmen yang terletak di I-Soho Seksyen 7 Shah Alam.

“Hasil serbuan polis mendapati seramai 25 orang lelaki dan 2 perempuan berkumpul untuk menyambut hari jadi rakannya.

“Kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 37 tahun telah diberkas kerana didapati berkumpul untuk menyambut harijadi rakan,” katanya hari ini.

Tambah Baharudin, kesemua mereka ditahan kerana melanggar  Kesalahan Pelanggaran Peraturan 6 (1) Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dadah jenis ganja yang dirampas dari kumpulan 27 individu yang dicekup melanggar PKP dan berparti arak menyambut hari jadi rakan di apartmen di Shah Alam awal pagi tadi.Foto Credit: IPD Shah Alam RABU 29 APRIL 2020

Menurutnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta dengan cuai melakukan perbuatan merebakkan jangkitan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (KK).

“Hasil pemeriksaan dalam premis tersebut, polis telah menjumpai dan merampas tiga botol arak jenama gold, tiga botol arak kosong yang telah diminum.

“Turut ditemui sebuah “portable speaker” dan mikrofon serta sebuah beg warna hitam mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering berwarna hijau disyaki dadah jenis ganja yang dibaluti kertas timah (Anggaran Berat – 120.35 gram) yang turut disiasat di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952,” katanya.

Baharudin berkata, ujian saringan air kencing dilakukan dan sembilan lelaki didapati positif ganja.

Tambah beliau, semakan rekod jenayah mendapati salah seorang daripada mereka dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun berkawan di Teluk Intan, Perak.

“Kini kesemua suspek direman empat (4) hari bermula hari ini untuk melengkapkan siasatan polis,” katanya. – MalaysiaGazette