Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Pakatan Nasional (PN) di Johor akan kekal sekiranya kerajaan gabungan parti-parti itu berjaya memenuhi kepentingan rakyat menerusi pelbagai projek pembangunan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, mengukuhkan PN dengan ‘political rewards’ (ganjaran politik) melalui pelantikan dalam syarikat milik kerajaan (GLC ) dan pelbagai lagi bukanlah jalannya.

“PN tidak ditubuhkan dengan mandat rakyat. Ia mesti mengetepikan segala kepentingan lain kecuali kepentingan rakyat.

“Jawatan, gelaran dan habuan bukan matlamat PN ditubuhkan. Matlamatnya ialah menyelamatkan negara.

“PN hanya akan mengukuh dan berfungsi dengan sebaiknya di Johor jika ia boleh mengemukakan ‘grand strategy’nya yang mapan tentang bagaimana potensi sebenar Johor itu boleh dibongkar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khaled berkata demikian membidas kenyatan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri kononnya gabungan PN di Johor dilihat rapuh apabila menggambarkan bahawa Bersatu dilihat tersepit dalam gabungan baharu itu.

Menurut Mohd Solihan, mandat yang diberikan rakyat sebelum ini untuk menyaksikan perubahan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) telah disia-siakan oleh Bersatu dengan menubuhkan kerjasama bersama dengan Umno dan Pas.

Mengulas lanjut Khaled berkata, kemajuan Johor, dengan visi yang jelas serta pentadbiran berpandukan nilai dan amalan terbaik adalah kayu pengukur sebenar ketahanan PN.

Ujarnya, PN yang berkelangsungan adalah apabila ia boleh mengemukakan jawapan dan penyelesaian kepada kemelut kehidupan dan pembangunan negeri Johor.

“Jika ia boleh menguruskan Johor dengan elemen pembaharuan, kemajuan dan pembangunan yang pesat, PN pasti akan menjadi ‘coalition’ yang diterima walaupun tanpa kerjasama politik yang mengikat, kemas dan teruji,” tambahnya.

Katanya lagi, hanya Johor yang merasai perubahan dan pembangunan untuk menyelamatkan PN sebaliknya, bukan angka mahupun jumlah kerusi.

Justeru kata beliau, gunakanlah segala angka dan kerusi di DUN itu, untuk memberikan kelainan dengan memajukan Johor, dan bukan untuk saling melemahkan. – MalaysiaGazette