KUALA LUMPUR – Tepat jam 10 malam tadi, beberapa bangunan di ibu kota menyalakan lampu biru sebagai simbolik penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi Covid-19 di negara ini.
Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati antara bangunan yang menyalakan lampu biru tanda menyertai Program Cahayakan Biru, adalah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Saloma Link, Masjid Negara dan Menara Ambank di Jalan Yap Kwan Seng.
Tidak ketinggalan Istana Negara yang turut dilimpahi dengan lampu biru.
Turut kelihatan dua helikopter yang memancarkan lampu biru dan bergerak mengelilingi pusat bandar di ibu kota.
Sementara itu, keadaan di Kuala Lumpur hari ke-44 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kekal lengang di malam hari.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menyeru orang ramai menyertai Program Cahayakan Biru dengan menyalakan lampu biru di seluruh negara.
Hari ini merupakan hari kedua PKP fasa keempat sejak ia dikuatkuasakan 18 Mac yang lalu.
Antara yang dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan ialah doktor, jururawat, anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam membantu kerajaan memerangi Covid-19.
Setakat Khamis dilaporkan, seramai dua kematian kes Covid-19 menjadikan jumlah terkumpul adalah 102.
Manakala sebanyak 57 kes positif baharu wabak itu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Buka lampu biru 30 April sebagai sokongan kepada frontliners