Matthew Tee

KUALA LUMPUR- Bina Puri Holdings Bhd, sebuah syarikat senaraian awam di papan utama Bursa Malaysia semalam telah memeterai perjanjian kolaborasi untuk membangunkan satu perisian khas berdasarkan Sistem Maklumat Bangunan (BIS) bagi mengendalikan operasi pembinaan syarikat tersebut.

Kerjasama itu dilakukan bersama Progenet Innovations Sdn Bhd, sebuah
syarikat milik penuh Key Alliance Group.

Perisian itu akan menggerakkan operasi pembinaan secara digital,
meningkatkan perkongsian maklumat projek dan data penyelidikan serta
membantu meningkatkan kecekapan dan kebertanggungjawaban di setiap
tapak projek.

Dalam suasana ekonomi digital masa kini, adalah menjadi keperluan
utama bagi Kumpulan Bina Puri untuk mengambil langkah pembaharuan
dalam menjalankan aktiviti pembinaan berbanding sistem tradisional
berasaskan batu bata dan mortar.

Sistem Maklumat Bangunan (BIS) ini adalah komponen yang semakin
penting dalam proses pembinaan, yang dapat membantu meningkatkan
pertanggungjawaban dan kecekapan dalam reka bentuk, pembinaan dan
pengurusan bangunan serta tenaga kerja sesuatu projek.

“Dengan keadaan semasa dan pergantungan kita kepada pekerja asing
dalam industri pembinaan, terlalu banyak modal perlu diperuntukkan bagi
mengawal selia tenaga kerja di tapak projek, di mana semestinya ada
penyelesaian untuk menambahbaik dan memperkemaskan sumber-
sumber ini secara automatik,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri Holdings Bhd, Datuk Matthew Tee.
.
Ujar beliau, kedua-dua pihak akan memanfaatkan sistem perisian BIS
ini di mana mereka mempunyai kepakaran teknikal bagi membangunkan perisian tersebut, manakala bagi Bina Puri memerlukan suatu mekanisma yang boleh memudahkan kawal selia kerja di tapak binaan.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Key Alliance Group yang
mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat termasuk
pengkomputeran awam seperti menyimpan data di awan (cloud
computing), perniagaan secara digital dan Internet Pelbagai Benda (IPB)
atau ‘loT’,” katanya lagi.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa ketika ini,
Kumpulan Bina Puri perlu mengambil langkah segera untuk meningkatkan
keupayaan melaksanakan projek pembinaan secara sistematik, mengawal
selia semua sumber kerja secara berpusat dengan menggunakan sistem
integrasi maklumat secara digital serta menyusun jadual kerja pembinaan
dan proses pengurusan semula selepas PKP ini.

Dengan pembangunan perisian ini juga, ia dapat membina aliran
pendapatan yang baharu dengan cara mempertingkatkan sistem
pengurusan bangunan dan menyediakan aplikasi digital bagi pengurusan
tapak projek dan tenaga kerja yang dinamik.

Kumpulan Bina Puri terus menerus aktif dalam aktiviti pembidaan sama
ada bagi projek dalam negeri mahupun diluar negara, dan akan membuat
pengumuman dari masa ke semasa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast