Kakitangan hospital menolak keluar mayat mangsa-mangsa Covid-19 dari sebuah hospital. foto Agensi

LONDON – Britain kini menjadi negara kedua di Eropah yang merekodkan kadar kematian tertinggi Covid-19 dengan lebih 26,000 kes.

Sebanyak 26,097 orang meninggal di United Kingdom selepas kes disahkan positif setakat 28 April lalu, menurut Public Health England (PHE),

Angka itu termasuk kes kematian di luar hospital.

Dengan jumlah itu bermakna United Kingdom mengalami kes kematian tertinggi Covid-19 berbanding Perancis dan Sepanyol.

Setakat ini, Itali masih mengekalkan rekod kematian tertinggi koronavirus di Eropah, selain Amerika Syarikat.

”Kita tidak boleh melupakan kenyataan bahawa di balik setiap statistik ada banyak nyawa manusia yang secara tragis telah hilang sebelum waktunya,” kata Setiausaha Luar Negeri Dominic Raab.

Jumlah kematian di United Kingdom begitu tinggi telah meningkatkan tekanan kepada Boris Johnson selepas parti pembangkang menuduh pentadbiran Perdana Menteri itu terlalu lambat melaksanakan sekatan perjalanan untuk membendung penularan koronavirus.

Kerajaan Johnson didakwa terlalu lambat untuk memperkenalkan ujian sarimgan dan lewat untuk mendapatkan peralatan perlindungan yang mencukupi bagi hospital .

Johnson kembali bekerja pada hari Isnin lalu setelah pulih daripada Covid-19. – MalaysiaGazette