Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Berlaku pertambahan dua kes kematian Covid-19 dilaporkan dan 57 kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kes meninggal dunia akibat wabak berkenaan di Malaysia iaitu adalah sebanyak 102 kes atau 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes

Beliau berkata, kes baharu Covid-19 hari ini jumlahnya sedikit menurun berbanding semalam dengan 25 daripada kes baharu itu merupakan kes import.

“Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah 32 kes sahaja. Sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, kedua-dua kematian baharu itu merupakan individu kes ke 4,657 yang merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah.

Katanya, beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster PUI Bali iaitu kes ke-4,476 dan telah telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April lalu.

Manakala, kes kematian ke-102 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pukul 12.55 tengah hari tadi.

Sehingga ke hari ini jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 6,002 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 1,729 kes. – MalaysiaGazette