WASHINGTON – Ekonomi Amerika Syarikat (AS) mengalami penguncupan paling teruk lebih dari satu dekad pada suku pertama tahun ini ekoran sekatan perjalanan yang dikenakan bagi membendung penularan koronavirus.

Ekonomi terbesar dunia itu merosot sebanyak 4.8%.

Ia merupakan penguncupan kali pertama sejak tahun 2014, sekali gus memberi isyarat krisis penuh memandangkan peraturan ketat tidak dilaksanakan sehingga bulan Mac.

Pandemik itu “menyebabkan penderitaan manusia dan ekonomi yang luar biasa di seluruh Amerika Syarikat dan di seluruh dunia”, kata Bank Pusat Amerika Syarikat.

AS telah berusaha mengurangkan risiko ekonomi dengan hampir AS$3 trilion dalam pakej rangsangan termasuk pembayaran langsung kepada banyak keluarga.

Rizab Persekutuan juga telah mengambil beberapa langkah kecemasan, termasuk menurunkan kadar faedah kepada hampir sifar.

Pada hari Rabu, Ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell mengatakan bank ini akan mengekalkan tahap tersebut sehingga “yakin bahawa ekonomi telah menghadapi keadaan ini dan berada di landasan yang betul”.

Namun, beliau mengingatkan bahawa krisis yang sedang berlaku sekrang akan “membebankan” ekonomi.

“Adakah kita perlu memberi bantuan lagi? Jawapannya mungkin ya,” kata Powell dalam sidang media secara maya.

Sejak pertengahan Mac lalu, lebih daripada 26 juta penduduk di Amerika Syarikat mendaftar sebagai penganggur selepas AS menyaksikan penurunan bersejarah dalam aktiviti perniagaan dan keyakinan pengguna.

Para penganalisis menjangkakan pertumbuhan merosot 30% atau lebih dalam tempoh tiga bulan sehingga Jun ini.

“Ini satu keadaan yang sudah terkeluar dari landasan dan belum pernah berlaku sebelum ini.

“Ekonomi baharu sahaja menjadi rata,” kata Mark Zandi, Ketua Ekonomi di Moody’s Analytics.

Penguncupan ekonomi AS adalah sebahagian daripada kelembapan global akibat wabak koronavirus. – MalaysiaGazette