KUALA LUMPUR – Personaliti fesyen, Wak Doyok dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor hari ini susulan pembelian dan penggunaan cincin berukiran mempunyai lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang berkata bahawa Wak Doyok atau Mohd Azwan Md Nor, yang hadir pada 11 pagi tadi.

Jelasnya, Wak Doyok yang juga pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

“Kes ini sebenarnya sudah lama, dia membeli cincin pada 2012 secara dalam talian dari sebuah syarikat di Indonesia. Namun satu laporan polis sudah dibuat Selasa lalu oleh kerajaan Johor dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

“Kertas siasatan akan disiapkan sebelum ia diberi pada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan susulan,” katanya dipetik sebagai berkata menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Menurut Ayob Khan, jika didapati bersalah personaliti fesyen itu boleh didenda tidak kurang RM250,000 atau tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Ayob dalam masa yang sama memberi amaran agar mana-mana individu tidak menggunakan, menghasilkan mahupun menempah lambang atau anugerah kurniaan Sultan Johor.

“Memang menjadi kesalahan di Johor mengikut enakmen ini kerana tidak ada mana-mana individu boleh menggunakan, menempah, menghasilkan, menyalahgunakan lambang dan anugerah yang dikurniakan oleh Sultan Johor kecuali selepas mendapat kebenaran bertulis daripada Sultan Johor.

“Saya bagi amaran jangan sewenang-wenangnya menggunakan memakai membuat menyalahgunakan lambang ini kerana ia adalah satu kesalahan,”ujarnya.

Berdasarkan akaun Instagram, Wak Doyok semalam membuat permohonan maaf kepada Sultan Johor dan mengaku khilaf ekoran tidak arif tentang protokol Diraja selepas ditegur oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

“Saya amat menyesali keterlanjuran yang tidak disengajakan ini dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” tulisnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.