Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada tahun akan datang walaupun situasi ekonomi mencabar.

Perumahan mampu milik dan penyelesaian yang tepat kepada harta tanah siap dibina tidak terjual akan terus menjadi agenda utama kerajaan.

Pemantauan rapi terhadap pelaksanaan program di bawah Dasar Perumahan Nasional 2.0 (2018 – 2025) dan pelbagai insentif yang telah diperkenalkan untuk mempromosi pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia juga diharapkan dapat mengatasi situasi siap dibina tidak terjual pada tahun akan datang.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkata, sebagaimana jangkaan Bank Negara Malaysia bahawa ekonomi Malaysia akan kembali meningkat pada 2021, selari dengan unjuran pemulihan global, pasaran hartanah juga diramalkan berada di aliran yang sama.

”JPPH akan terus memantau dan menilai kesan yang dijangka akibat pandemik ini ke atas pasaran hartanah Malaysia dan akan memberikan nasihat kepada kerajaan untuk memastikan pasaran kekal teguh,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasaran hartanah merekod kenaikan yang kecil pada tahun lalu dengan sejumlah 328,647 pindah milik bernilai RM141.40 billion telah direkodkan iaitu peningkatan 4.8% bagi bilangan dan 0.8% bagi nilai berbanding 2018 yang merekodkan 313,710 pindah milik bernilai RM140.33 billion.

Laporan Hartanah Malaysia 2019 menyatakan prestasi aktiviti pasaran sektor bertambah baik sedikit – kediaman (6.0%), komersil (7.2%), industri (3.8%) dan pertanian (2.0%) kecuali bagi subsektor tanah pembangunan, menurun sebanyak 1.2%.
Subsektor kediaman menguasai keseluruhan pasaran harta tanah dengan menyumbang sebanyak 63.7%.

Terdapat 209,295 pindah milik bernilai RM72.42 billion direkodkan di dalam tempoh kajian, iaitu peningkatan 6.0% bagi jumlah dan 5.3% bagi nilai berbanding 2018 (197,385 pindah milik bernilai RM68.75 billion).

Mengikut lingkungan harga, permintaan masih tertumpu kepada kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah, mewakili 61.7% daripada pindah milik kediaman, diikuti dengan RM300,000 kepada RM500,000 (21.3%), RM500,000 hingga RM1,000,000 (13.3%) dan lebih RM1 juta (3.7%).

Dari segi trend harga pula, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) terus meningkat pada kadar sederhana kepada 197.5 mata (pada tahun asas 2010), meningkat pada 1.9% (3.8 mata) pada asas tahunan (2018: 193.7 mata).

Terdapat 30,664 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM18.82 bilion, menurun sebanyak 5.1% bagi bilangan dan 5.2% bagi nilai berbanding 2018 (32,313 unit bernilai RM19.86 bilion).

Keadaan yang sama bagi kediaman dalam pembinaan dan belum dibina belum terjual yang bertambah baik dengan bilangan menurun kepada 72,692 unit dan 16,774 unit, masing-masing turun sebanyak 10.2% dan 15.6%.

Johor mengekalkan jumlah dan nilai tertinggi bagi siap dibina tidak terjual di dalam negara dengan 5,627 unit bernilai RM4.7 bilion, masing-masing mewakili 18.4% dan 25.0% daripada jumlah keseluruhan negara manakala Perak di tempat kedua dengan 5,024 unit bernilai RM1.52 bilion, diikuti oleh Selangor (4,687 unit bernilai RM3.75 bilion) dan Pulau Pinang (3,353 unit bernilai RM2.59 bilion).

Mengikut lingkungan harga, kediaman berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 (7,883 unit) membentuk 25.7% manakala kediaman berharga lebih RM500,000 (12,528 unit) membentuk 40.9% daripada jumlah keseluruhan kediaman siap dibina tidak terjual. – MalaysiaGazette