Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan mengumumkan kebenaran beroperasi kepada syarikat-syarikat kecil tidak lama lagi.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua pihak diminta bersabar dan menunggu pengumuman kebenaran beroperasi dan prosedur operasi standard (SOP) selepas ini.

“Benar, pada ketika ini syarikat-syarikat besar sudah mula beroperasi dan kita akan memberi kelonggaran kepada syarikat-syarikat kecil pula pada masa akan datang.

“Tunggu pengumuman dan SOP,” katanya semasa sidang media hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan melonggarkan syarat kepada syarikat yang mendapat kebenaran untuk beroperasi pada skala penuh sedangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan supaya sebarang kelonggaran SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara beransur-ansur, Ismail Sabri menegaskan, keputusan tersebut dibuat secara berperingkat.

Katanya, kesemua syarikat berkenaan hanya dibenarkan beroperasi pada separuh kapasiti sahaja semasa PKP mula-mula dilaksanakan lebih sebulan lalu.

Kini, kapasitinya dipertingkatkan kepada 100 peratus.

“Kerajaan tidak memberikan kelonggaran tersebut secara mengejut. Ianya dilakukan secara berperingkat.

“Apa yang penting, syarikat-syarikat ini perlu mematuhi SOP yang telah dikeluarkan,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi dilarang beroperasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Ismail Sabri berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimanapun, perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan diadakan tidak lama lagi bagi menyelesaikan isu tersebut.- MalaysiaGazette