Datuk Seri Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA – Pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) khususnya daripada etnik Rohingya di negara ini yang cuba menganggu gugat ketenteraman awam di negara akan berdepan tindakan tegas.

Mereka yang berstatus Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan memegang kad UNHCR diingatkan supaya menghormati dan terus mematuhi undang-undang di negara ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini menyebut sehingga Mac lalu, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal sementara di negara ini.

Daripada jumlah tersebut, 56.6 peratus atau 101,584 orang adalah daripada etnik Rohingya dan oleh kerana Malaysia adalah bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan juga tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan telah mengklasifikasikan mereka sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.

“Namun begitu, atas dasar kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan PATI yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNCHR menerusi dasar “satu kes ke satu kes”.

“Selain itu, hasil semakan KDN mendapati Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tidak pernah mendaftarkan pertubuhan atas nama Rohingya atau mana-mana etnik Rohingya di Malaysia.

“‘Justeru, mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh diambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Oleh yang demikian, pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemukakan sebarang tuntutan kepada Kerajaan,” katanya lagi.

Hamzah berkata demikian selepas mengambil maklum akan kegusaran awam yang timbul berhubung pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya di negara ini.

Tambah beliau, KDN melalui jabatan dan agensi di bawahnya komited dalam memastikan ketenteraman awam akan terus terpelihara dari masa ke masa.

Menurutnya, sebarang tindakan pemegang kad UNHCR yang mengganggu-gugat ketenteraman awam dan bertentangan dengan undang-undang negara tidak akan terlepas daripada tindakan.

Justeru katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 19 laporan terhadap pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya yang mana sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka.

“Selain itu, dua orang tekong warganegara Myanmar bakal dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan terlibat dengan sindiket menyeludup masuk PATI yang memegang kad UNHCR ke dalam negara.

“Merujuk tindakan pihak berkuasa Malaysia tidak membenarkan bot yang membawa etnik Rohingya memasuki kawasan perairan negara pada 17 April lalu, KDN menegaskan langkah itu adalah berlandaskan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh.

“Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan pihak berkuasa Malaysia telah mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari kawasan perairan negara,” ujarnya.

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan PATI, Hamzah menegaskan, tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus bagi menghalang pencerobohan PATI selari dengan langkah Kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“KDN ingin menegaskan bahawa pihak berkuasa akan terus bersiap-siaga bagi menghalang sebarang pencerobohan terhadap sempadan mahupun perairan negara.

“Pada masa yang sama, PATI yang memegang kad UNHCR di Malaysia diingatkan agar terus menghormati dan mematuhi undang-undang di negara ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette