Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pertuduhan merogol di sebuah hotel di Petaling Jaya membuktikan ia tidak pernah berkompromi dan sama sekali tidak akan melindungi sebarang perlakuan jenayah oleh mana-mana pegawai dan anggotanya.

Malah, tindakan yang dikenakan ke atas pegawai polis itu menunjukkan PDRM sentiasa menegakkan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang, tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Malangnya terdapat segelintir masyarakat atau kumpulan seolah-olah cuba mempertikaikan kewibawaan PDRM dalam mengendalikan kes yang melibatkan pegawai sendiri.

Justeru, PDRM mengingatkan sekali lagi mereka yang bersikap skeptikal, prejudis dan memandang rendah akan profesionalisme polis supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya membabitkan siasatan kes ini.

PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam dalam menangani sebarang kes yang disiasat.

“Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam membina negara bangsa ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera,” tegas Huzir.

Menurut beliau, dalam kes tersebut, terdapat dua kertas siasatan dibuka di bawah Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Kanun Keseksaan.

Kertas siasatan pertama telah dituduh semalam di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 13(f) ATIPSOM 2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dengan cara penyalahgunaan kuasa untuk tujuan eksploitasi seks.

Manakala siasatan kedua akan dituduh pada hari ini di Mahkamah Petaling Jaya, di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul. – MalaysiaGazette

Inspektor dituduh memperdagangkan dua wanita Mongolia

1 Komen

  1. Kes rogol adun tronoh tu pe ceta PDRM senyap jer..x cukup bukti ke wlpun yg merogol ada buat pengakuan

Comments are closed.