Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) menyerahkan Sumbangan Aidilfitri MAIWP Kepada Asnaf Wilayah Persekutuan dan penyerahan mock cek berjumlah RM12.99 juta untuk Tabung Musa'adah Covid-19 di Taman Melati hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyerahkan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 26,400 penerima asnaf di Wilayah Persekutuan membabitkan peruntukan berjumlah RM12.99 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan itu diagihkan lebih awal tahun ini berbanding tahun sebelum ini susulan penularan Covid-19.

“Ini kerana pada tahun ini Ramadan kita jalani dalam suasana kebiasaan baharu, begitu juga dijangka dalam sambutan Aidilfitri ekoran penularan Covid-19.

“Kita melihat terdapat keperluan untuk menyalurkan bantuan lebih awal. Diharap asnaf dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan yang diterima ini untuk keperluan utama,” katanya kepada pemberita di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati hari ini.

Terdahulu Zulkifli menyerahkan Sumbangan Aidilfitri MAIWP Kepada Asnaf Wilayah Persekutuan dan penyerahan mock cek berjumlah RM12.99 juta untuk Tabung Musa’adah Covid-19.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AIHabshee; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Selain itu katanya, seramai 25,700 asnaf menerima bantuan berjumlah RM500 setiap seorang.

“Manakala bantuan RM200 akan disalurkan kepada 700 anak-anak yatim di bawah kelolaan MAIWP di Darul Kifayah Kuala Lumpur dan Labuan. Anak-anak keluarga asnaf yang belajar ilmu kemahiran di Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP.

“Turut menerima sumbangan ini ialah para pelatih di pusat perlindungan dan bimbangan wanita Dar Assaadah,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli juga mengumumkan pemberian bantuan kecemasan untuk kali kedua secara automatik kepada mereka terjejas pendapatan yang telah menerima bantuan zakat kecemasan MAIWP sebelum ini.

“Bantuan ini pada bentuknya one-off dan hanya diberikan sekali sahaja. Prihatin dengan waktu semasa dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-4, maka bantuan ini akan disalurkan sekali lagi tanpa memerlukan permohonan baru dibuat.

“Pembayaran bantuan zakat kecemasan kali kedua berjumlah RM3.5 juta ini akan disalurkan secara berperingkat bermula Mei dan penerima akan menerimanya sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Menerusi misi Musa’adah Covid-19, MAIWP melalui Dana Zakat MAIWP telah meluluskan keseluruhan RM39.5 juta bagi membantu mereka terjejas pendapatan dan pihak yang memerlukan sepanjang tempoh PKP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast