TOKYO – Parlimen Jepun dijangka meluluskan bajet tambahan AS$241 bilion bagi membiayai pakej rangsangan yang turut merangkumi pemberian tunai dan pinjaman kepada syarikat-syarikat yang terjejas bagi mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik koronavirus.
Bank of Japan pula mahu membeli bon-bon tanpa had bagi memastikan kos pinjaman terus rendah, Jepun dijangka mengikut jejak langkah beberapa ekonomi besar untuk melaksanakan helicopter money (bank pusat mencetak wang untuk membiayai hutang kerajaan).
“Langkah yang diambil untuk menangani krisis setakat ini adalah bersifat sementara.
“Tetapi jika krisis ini berterusan, syarikat-syarikat tersebut perlu dipersiapkan untuk menjadi lebih kuat.
“Ini menjadi permulaan kepada satu integrasi di antara dasar fiskal dan monetari,” jata Ketua Pakar Strategi Bon di SMBC Nikko Securities, Chotaro Morita.
Bajet tambahan bersaiz AS$241 bilion itu akan membiayai sebahagian daripada pakej rangsangan bernilai AS$1.1 trilion yang diumumkan Perdana Menteri Shinzo Abe awal bulan ini.
Pakej tersebut merangkumi pembayaran tunai sebanyak 100,000 yen bagi setiap rakyat, satu langkah yang menawarkan bantuan lebih luas kepada isi rumah yang mengalami kehilangan pendapatan akibat dibuang kerja atau pengurangan jam bekerja.- MalaysiaGazette