Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Nama mereka yang didapati bersalah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkodkan dalam daftar jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi Bernama mengesahkan nama pesalah PKP tidak dimasukkan dalam sistem rekod jenayah Polis Diraja Malaysia.

“Pesalah PKP tidak direkodkan dalam daftar jenayah,” katanya ringkas ketika diminta mengulas sama ada pesalah PKP akan mempunyai rekod jenayah selepas ditahan.

Beliau berkata meskipun nama tidak direkodkan, ia bukanlah ‘tiket’ untuk orang ramai ingkar PKP yang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Orang ramai perlu patuh PKP, hukuman dan penjara terhadap mereka yang ingkar PKP amat memeritkan,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata 683 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar PKP semalam dengan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 29 April adalah seramai 22,432 individu.- BERNAMA