Pekerja Lee Sun Motor Trading membaiki motor pelanggan mereka ketika mulanya beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke-27 berikutan bagi membendung penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Nirwana, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 13 APRIL 2020

PADA 1 Mei setiap tahun seluruh dunia akan menyambut
kedatangan Hari Pekerja.

Hari Pekerja ini disambut setiap tahun bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh para pekerja disemua sektor pekerjaan dalam membangun dan memajukan negara.

Tidak dapat dinafikan setiap pekerja memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara termasuklah negara kita.

Tanpa pekerja, agak mustahil sesebuah negara itu dapat bergerak ke depan serta membawa kehidupan yang baik untuk seluruh masyarakat.

Peranan penting setiap pekerja ini dapat dilihat dengan lebih jelas dikala serata dunia termasuklah Malaysia hadapi penularan wabak novel koronavirus (Covid-19). Akibat daripada penularan wabak ini, banyak sektor ekonomi dan sektor pekerjaan terpaksa ditutup bagi menghentikan penularan wabak berkenaan.

Penutupan banyak sektor ekonomi dan sektor pekerjaan ini mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat kerana mereka tidak dapat melakukan pelbagai urusan seperti mana yang biasa dilakukan sebelum ini. Akibat daripada penularan wabak Covid-19 ini juga, keadaan ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka juga, negara kita menerima tempias teruk akibat daripada penularan wabak Covid-19.

Ini ditambah lagi dengan langkah ketat yang terpaksa diambil oleh pihak kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 seperti melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan sektor pekerjaan terpaksa ditutup dalam negara kita.

Penutupan banyak sektor ekonomi dan sektor pekerjaan ini mengundang pelbagai masalah kepada sektor- sektor yang terlibat terutamanya dari aspek penjanaan keuntungan.

Jumlah keuntungan yang diperolehi atau dijana kini tidak lagi sebanyak yang diperolehi seperti tahun-tahun dulu. Dengan terjejasnya jumlah keuntungan yang diperolehi dan dijana, pihak majikan khususnya sektor swasta tidak memiliki pilihan lain melainkan mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan perniagaan dan syarikat mereka.

Antara langkah drastik yang diambil oleh pihak majikan ialah dengan melakukan proses pemberhentian pekerja.

Proses pemberhentian pekerja ini adalah satu perkara yang amat sensitif untuk semua pekerja kerana ia melibatkan periuk nasi individu pekerja yang terlibat. Sekiranya pekerja
diberhentikan kerja, mereka akan hilang sumber pendapatan untuk menampung diri mereka serta ahli keluarga mereka.

Kehilangan sumber pendapatan ini akan menyebabkan seseorang individu itu terdedah dengan pelbagai masalah seperti masalah hutang, masalah pemberian nafkah,
masalah untuk menampung kehidupan diri dan keluarga serta pelbagai masalah lain. Kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan ini juga akan mendedahkan individu
terbabit kepada masalah sosial.

Apabila seseorang itu tidak memiliki pekerjaan dan sumber pendapatan, ia boleh
menjadikan diri mereka terdesak dan akhirnya memaksa diri mereka untuk mengambil jalan singkat dengan melakukan perkara yang bertentangan dengan undang – undang seperti mencuri, merompak, menipu dan lain – lain lagi.

Kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan ini boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada diri individu yang terlibat malah kepada ahli keluarganya, masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya pihak kerajaan mengambil segala langkah bagi memastikan pekerja dalam negara kita tidak kehilangan sumber rezeki mereka.

Adalah penting supaya pihak kerajaan memastikan periuk nasi setiap pekerja dapat dilindungi dengan baiknya. Pihak kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi melindungi hak dan kebajikan semua pekerja dalam negara kita.

Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 telah banyak membantu golongan pekerja dalam negara kita dalam menghadapi suasana sukar ketika ini.

Daripada jumlah yang diumumkan itu, hampir RM128 bilion bakal disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat manakala sejumlah RM100 bilion lagi akan digunakan untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara.

Terdapat juga peruntukkan untuk subsidi upah pekerja dan dana – dana peruntukkan disediakan bagi golongan yang memerlukan seperti golongan petani, pekebun, penternak serta para nelayan yang terjejas teruk akibat daripada penularan Covid-19.

Perdana Menteri juga telah mengumumkan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menjamin rakyat untuk terus kekal dengan pekerjaan mereka.

Walaupun jumlah peruntukkan yang disediakan tidak banyak, namun ia sedikit sebanyak dapat membantu ramai golongan pekerja dalam negara kita. Apa yang penting untuk pihak kerajaan lakukan kini adalah memastikan setiap peruntukkan yang telah diumumkan disalurkan dengan segera kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Walaupun terdapat pelbagai jenis bantuan yang disediakan, pihak kerajaan juga perlu sentiasa mendengar segala aduan dan rintihan dari orang ramai termasuk para pekerja
mengenai masalah yang sedang dialami oleh mereka pada ketika ini.

Isunya sekarang, sampai bilakah pihak kerajaan mampu menghulurkan bantuan kepada rakyat dan pekerja? Persoalan juga timbul dikalangan para pekerja, apakah langkah yang para pekerja ini perlu ambil untuk hari-hari yang akan datang? Kesan daripada penularan wabak Covid-19 ini tidak akan terhenti untuk jangka masa terdekat.

Realitinya, wabak Covid-19 akan terus menghantui setiap orang selagi tiada vaksin ditemui yang boleh digunakan bagi mengubati virus terbabit.

Sama ada kita suka ataupun tidak, impak penularan wabak Covid-19 akan memberi kesan terhadap semua sektor ekonomi dan semua sektor perkerjaan dalam negara kita untuk satu tempoh yang agak panjang.

Banyak perniagaan dan syarikat bakal hadapi tempoh sukar sepanjang tahun ini sehingga tahun depan.

Proses pemberhentian pekerja mungkin tidak dapat dielakkan lagi.

Oleh itu, adalah penting supaya pihak kerajaan dapat merangka satu pelan holistik dan mencari jalan penyelesaian jangka panjang terhadap perkara ini bagi memastikan masalah yang melibatkan golongan pekerja ini tidak menjadi lebih serius dalam negara kita.

Selamat menyambut Hari Pekerja

Muzaffar Syah Mallow

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang- Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast