Datuk Seri Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Majikan perlu mengambil inisiatif untuk sentiasa memberi latihan yang terbaik bagi meningkatkan kepakaran pekerja.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana kedudukan daya saing ekonomi Malaysia bergantung kepada usaha untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran.

Beliau berkata, dalam konteks sekarang, penekanan juga perlu diberikan dalam kebersihan diri, pelaksanaan penjarakan sosial dan lain-lain amalan kesihatan semasa melakukan tugas.

“Cabaran yang dihadapi kali ini juga telah memberikan penekanan khusus kepada kepentingan tenaga kerja Malaysia dari segenap lapis masyarakat dan sektor terutamanya dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana yang menyumbang 66 peratus
kepada tenaga kerja Malaysia.

“Rakyat kini telah lebih terdedah kepada peranan tenaga kerja negara dalam mengemudi perkembangan sosio-ekonomi negara.

“Di samping itu, zaman pasca COVID-19 juga menuntut kita untuk melakukan perubahan dalam menerima norma baharu,” kata Menteri Kanan itu menerusi perutusan khas Hari Pekerja 2020 hari ini.

Azmin berpendapat, tenaga kerja di Malaysia amat cepat menyesuaikan diri dengan keperluan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujarnya, dalam berhadapan dengan cabaran ini, pekerja dan majikan telah berjaya meningkatkan penggunaan teknologi digital demi memudahcara tugasan dan ini telah meninggikan produktiviti serta keberkesanan proses.

Tambah beliau, perubahan itu bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti tenaga kerja, tetapi mampu mengembangkan syarikat menjadi sebuah entiti yang mahir dalam aktiviti e-dagang.

Katanya lagi, tidak dapat disangkal pendigitalan adalah langkah yang mesti diambil oleh usahawan tempatan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing di dalam persekitaran normal baharu ini.

“Saya melihat ini sebagai waktu yang paling baik untuk kita memberi sepenuh fokus kepada pengaplikasian teknologi dan penciptaan inovasi untuk dijadikan pemangkin cara pemikiran dan pekerjaan kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Azmin memberitahu, norma baharu ini juga membuka ruang dan mengalakkan sesi bekerja melalui atas talian dari kediaman masing-masing (work from home).

Beliau percaya dengan perkembangan ini, syarikat-syarikat dari segenap sektor ekonomiakan mengubah cara mereka bekerja pada masa hadapan dan akan memberi fokus kepada
kepentingan mencapai keseimbangan dalam produktiviti dan kehidupan berkeluarga, katanya.

“Saya pasti, syarikat-syarikat Malaysia juga akan menambah nilai kepada pengalaman bekerja mereka semasa PKP ini pada masa hadapan.

Perubahan ini juga melambangkan hala tuju Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang maju dan seiring dengan Sustainable Development Goals yang menekankan kemampanan dalam pekerjaan, kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup dan kerjasama strategik,” katanya. – MalaysiaGazette