Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta yang lain bergambar kenangan pada Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Hari Pekerja CUEPACS 2020 di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Hari Pekerja 2020 yang disambut hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat kepada kepada Mohd Uzir pada satu majlis ringkas yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Adnan berkata, pada tahun ini hanya dua anugerah disediakan, iaitu Anugerah Majikan Prihatin dan Anugerah Tokoh Hari Pekerja 2020, berbanding 11 anugerah sebelum ini.

Jabatan Bomba Malaysia dipilih sebagai menerima Anugerah Majikan Prihatin.

“Kenapa kita pilih Perangkawan sebab dia berjaya memastikan jabatan ini merasai denyutan nadi rakyat yang mana rakyat kalau dulu tiada siapa kenal jabatan ini.

“Hari ini kita terasa kehadiran perangkaan dan kakitangannya dan kebijaksanaan dan khdimat pimpinan Uzir inilah orang dekati perangkaan dengan setelah ia dirakyatkan menerusi unjuran hasil perangkaan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Mohd Uzir menyatakan rasa kesyukuran dan kebanggaan kepada Cuepacs dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas anugerah yang diterimanya.

“Ini satu penghargaan kepada semua warga jabatan ini yang selama ini mencurah tenaga dan kepakaran untuk merakyatkan jabatan perangkaan ke arah pendigitalan yang holistik dan menyuntik semangat untuk terus berbakti kepda rakyat dan negara.

“Walaupun menyambut (Hari Pekerja) dalam suasana penjarakan sosial dan normal baharu hidup berbeza, diharap ia memberi makna mendalam kepada warga pekerja semua,” ujarnya.

Mohd Uzir memulakan kerjayanya di Jabatan Perangkaan Malaysia pada 1991.

Beliau telah mempermudahkan data statistik bagi membolehkan semua rakyat memahaminnya dengan lebih mudah.

Setiap data statistik yang dikeluarkan menjadi pusat rujukan dalam penyusunan statistik rasmi dan mendapat pengiktirafan dari agensi dalam dan luar negara.

Di bawah kepimpinan beliau, Jabatan Perangkaan Malaysia telah diberi penghormatan dengan pengiktirafan sambutan Hari Statistik Negara pada 20 Oktober setiap tahun bermula pada 2017.

Jabatan itu juga menjadi pembekal data statistik untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dalam membuat dasar dan polisi yang berkaitan.

Mohd Uzir menganjurkan Persidangan Statistik Antarabangsa tahun lalu yang disertai lebih 1,000 saintis data dari pelbagai negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau juga banyak membantu Cuepacs dalam berkongsi data-data statistik membabitkan kepentingan rakyat dan penjawat awam. – MalaysiaGazette