Kedai Mahmod yang kini tinggal kenangan.

Marhaba.. Pejam celik Pejam celik sudah pun seminggu kita berpuasa. Masa berlalu sangat pantas.Sepantas kilat.

Dalam coretan yang lepas Che Pah ada berkongsi kisah keluarga Che Pah menyambut Ramadhan sewaktu Che Pah masih kanak kanak.

Itu stail dan cara famili Che Pah. Che Pah rasa masing masing anda juga punya kisah dan cara tersendiri. Ia sebuah kenangan yang pastinya tak terluputkan.

Puasa dulu dengan puasa sekarang banyak bezanya. Dulu waktu tidaklah terlalu cepat berlalu seperti sekarang.

Dulu bila nak tunggu waktu berbuka serasakan begitu lama sekali. Sudah pergi sekolah. Dah balik sekolah. Dah buat kerja rumah yang Cikgu bagi akan tetapi waktu berbuka masih lama lagi.

Masih Che Pah ingat lagi, dulu lepas saja balik dari sekolah kebangsaan sekitar jam 12.30 tengahari, Che Pah akan bergegas bersiap untuk ke sekolah agama pula.

Sekolah agama bermula jam 1 petang hingga jam 3 petang. Waktu itu Che Pah bersekolah agama di Sekolah Agama Dumpar Tinggi di Muar.

Pergi ke sekolah agama dengan menunggang basikal terutama di bawah panas terik mentari di bulan puasa sesuatu yang sangat mencabar buat kanak kanak seperti Che Pah.

Tuhan sahajalah yang tahu hausnya tekak ini. Kering. Kalau diberi satu kolah air, mahu habis Che Pah minum.

Balik sahaja dari sekolah agama, terus Che Pah tanggalkan baju Melayu. Tinggal t-shirt tak berlengan. Terus baring atas simen berdekatan dengan ambin dalam rumah.

Sejuk simen itu amat menyegarkan semula tubuh yang kepanasan tadi. Dulu bukannya ada penghawa dingin seperti di kebanyakan rumah sekarang.

Dulu rasanya tak jumpa pun rumah yang ada aircond. Bas awam pun tiada aircond. Semuanya alami. Namun cuaca dulu tak sepanas cuaca sekarang.

Sekarang cuba awak sidai baju lepas dibasuh. Setengah jam kering. Begitulah tahap kepanasan sekarang.

Sambil baring di simen tadi, mulut Che Pah tak berhenti henti bertanya pada Umi Che Pah bila nak berbuka.

Naik lembik bibir Umi nak menjawap. Namun seorang ibu itu sememangnya telah sedia diciptakan Allah dengan sifat penyabar.

Walau sang anak bertanya berpuluh kali tetap si ibu menjawap dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Itulah Umi Che Pah yang Che Pah kenal.

Umi tak garang namun Umi seorang wanita yang sangat tegas. Sekali Umi keluarkan arahan dan kata, itu muktamadlah jawapnya.

Selepas Che Pah dah rasa sejuk akibat berbaring di simen tadi, Umi biasanya akan meminta Che Pah pergi beli air baru di kedai Mamak.

Tak jauh dari rumah Che Pah ada sebuah kedai India Muslim. Kami panggil kedai Mahmod. Barangkali nama empunyanya.

Air batu yang disalut dengan serbuk papan.

Kadang-kadang kami panggil juga dengan gelaran kedai Pak Hamid. Ini kerana salah seorang pekerja di kedai itu ialah jiran kampung Che Pah yang bernama Pak Hamid.

Kedai ini kepunyaan India Muslim dari India. Kalau di Muar kami panggil mereka India Malbari. Mereka bukan warganegara sini pun.

Selalu juga mereka balik ke India. Dan sering kali juga pekerja di kedai ini bertukar. Ada saja sanak saudara yang mereka bawa dari India untuk berkerja di kedai ini.

Namun Che Pah kurang pasti mereka berasal dari negeri mana di India. Jadi boleh dikatakan negara kita ini tak sunyi dari kedatangan penghijrah dari negara luar sejak dulu lagi.

Famili Che Pah pun bukan berasal dari sini. Moyang Che Pah berasal dari Hadhramaut, Yaman. Moyang Che Pah berhijrah untuk berniaga di sini.

Ibarat kata bumi Melayu memang terkenal penuh rahmat. Di dalam bumi terkandung emas hitam. Di laut pula kaya berlian berharga. Itu menjadi tarikan satu dunia.

Kedai Mahmod sememangnya menjadi tumpuan orang kampung Che Pah terutama dalam bulan Ramadhan.

Dulu tak semua rumah ada peti ais. Peti ais itu barang kewah dan sangat mahal. Jika ada pun bahagian sejuk bekunya tak sebesar seperti peti ais sekarang.

Jadi air batu harus dibeli. Kedai Mahmod satu satunya kedai yang ada menjual air batu.

Air batu dulu bukan seperti sekarang. Dulu setiap kedai yang menjual air batu akan membuat air batu sendiri.

Mereka ada acuan jongkong aluminium panjang yang akan dimasukkan air ke dalamnya. Kemudian acuan itu akan di masukkan ke dalam bahagian sejuk beku di dalam peti ais besar mereka.

Ia akan mengambil masa sehari sebelum ia menjadi keras. Kemudian apabila ada pelanggan yang hendak membeli, pekedai akan memotong air batu tersebut menggunakan gergaji.

Setelah dipotong dan dibahagi bahagikan, air batu akan disalut pula dengan serbuk papan.

Pasti budak budak sekarang hairan jika membaca kisah Che Pah ini. Pasti mereka bertanya kenapa pula perlu disalut dengan serbuk papan.

Serbuk papan sebenarnya bertindak sebagai penebat haba. Jadi air batu tidak akan cepat cair. Maklum, dulu bukan ada kereta. Masing masing berjalan kaki atau cuma naik basikal.

Kalau rumah yang jauh, tau tau sampai rumah air batu sudah habis cair. Yang tinggal bekasnya saja nanti.

Apabila beg plastik diperkenalkan, maka teknik membuat air batu juga berubah. Pekedai sudah tidak menggunakan acuan aluminum lagi.

Ia jadi lebih ringkas dengan hanya memasukkan air ke dalam beg plastik dan di bahagian atas diikat dengan getah.

Selepas itu terus dimasukkan ke dalam bahagian sejuk beku untuk dikeraskan. Sudah tidak perlu memotong seperti dulu.

Air batu dulu bukan mahal pun. Sebijik 20 sen saja harganya. Namun cara pembuatannya bukanlah mudah seperti sekarang.

Sekarang air baru terus siap keluar dari mesin. Begitu cepat, mudah dan murah. Namun kekurangannya ialah ia tak punya nilai sentimental seperti cara pembuatan air batu di zaman kanak kanak Che Pah dulu.

Jadi setiap jam 5 petang, kedai Mahmod akan jadi tumpuan. Beratur pelanggan menunggu air batu. Salah seorangnya Che Pah lah.

Namun apabila beg plastik wujud, Umi mengambil langkah lebih berhemah. Umi buat sendiri air batu. Kata Umi boleh jimat duit dari membeli.

Biasanya apabila ada air batu, Emak atau Nenek Che Pah akan buat sejenis pencuci mulut paling sedap.

Emak akan cincang nenas yang sudah masak ranum. Emak akan cincang halus halus. Selepas halus, Emak akan letak sirap dan adun nenas tersebut dengan sirap.

Selepas itu Emak ketuk air batu kecil kecil dengan anak lesung dan Emak letak dalam mangkuk yang berisi nenas cincang dan sirap tadi.

Rasanya jangan cakap lagi. Kena pulak tekak tengah haus sangat. Sejuk saja rasanya apabila ia mengalir masuk ke dalam tekak. Rasa sangat segar.

Awak semua cubalah buat kalau nak tau kehebatan rasanya. Mesti famili awak suka.

Namun kini kedai Mahmod sudah tiada. Sudah lebih 15 tahun ditutup. Pekedainya pun Che Pah tidak tahu entah ke mana. Mungkin balik negeri.

Yang tinggal kini hanya struktur bangunannya. Ia masih kukuh berdiri. Sekukuh kenangan yang terpasak kemas dalam ingatan Che Pah.

Kini setiap kali melalui bangunan rumah kedai kayu ini, Che Pah pasti menoleh. Seakan terbayang susun atur dalaman kedai yang sarat dengan barangan runcit.

Ia sebuah kenangan yang sukar dilupakan. Che Pah membesar dengan kenangan itu. Ranjau hidup itulah yang mendewasakan Che Pah serta mereka yang seusia dengan Che Pah kini. – MalaysiaGazette