Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan secara tidak langsung sebenarnya membantu pertumbuhan ekonomi negara sekiranya melupuskan melupuskan faedah pinjaman sepanjang enam bulan tempoh moratorium ini.

Jelas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, melalui kaedah itu secara tidak langsung insititusi kewangan dalam negara dapat meningkatkan keupayaan berbelanja rakyat.

“Langkah ini sedikit sebanyak membantu rakyat dan secara tidak langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara. Pada ketika itu institusi kewangan sudah tentu akan mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi tersebut melalui keupayaan meminjam dan berbelanja rakyat.

“Bank Negara dan institusi kewangan perlu bertindak sebagai penyelamat serta merasai rintihan rakyat ketika ini dan bukan terus menekan rakyat ketika krisis berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut berpendirian insititusi kewangan sepatutnya membantu rakyat yang juga merupakan peminjam sebagai simbolik kebersamaan kerana terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang lalu demi membendung penularan wabak Covid-19.

“Institusi kewangan perlu sedar keuntungan yang diperoleh mereka sebelum ini adalah hasil daripada sokongan rakyat yang bersama-sama terlibat dalam pembangunan ekonomi negara melalui pinjaman dan perbelanjaan yang dilakukan.

“Harus diingatkan ketika ini rakyat sedang berhadapan masalah ekonomi yang sangat getir dengan ada yang terpaksa dipotong gaji, diberikan cuti tanpa gaji serta kehilangan pekerjaan,”tambahnya.

Sehubungan itu senada dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, CUEPACS menggesa agar institusi perbankan perlu melupuskan faedah kepada peminjam dalam tempoh enam bulan ini.

Tengku Zafrul hari ini menyarankan agar semua institusi kewangan khususnya yang terlibat dalam moratorium supaya mempertimbangkan pengenaan faedah sewaktu tempoh enam bulan tempoh penangguhan yang meliputi faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) untuk dilupuskan.-MalaysiaGazette