Nabila Huda.

KUALA LUMPUR – Susulan pengumuman kerajaan membenarkan operasi sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei ini, media sosial dihujani pelbagai persepsi daripada warganet.

Ada yang setuju dan ada pula yang berpendapat PKP sepatutnya diteruskan dalam keadaan negara masih mempunyai kes baharu wabak Covid-19 yang dilaporkan setiap hari.

Tidak ketinggalan, golongan artis juga meluahkan kebimbangan sekiranya kelonggaran diberikan kepada pergerakan rakyat.

Antara yang bersuara ialah Nabila Huda. Anak kepada penyanyi Amy Search itu khuatir dengan kelonggaran yang diberikan dalam keadaan negara belum pulih sepenuhnya danĀ  masih tercari-cari vaksin bagi pandemik yang melanda.

Pelakon filem M4M4 itu berpendapat, masih terdapat aktiviti yang tidak sepatutnya dibenarkan iaitu bersukan.

Malah beliau sendiri sanggup menolak tawaran beberapa program televisyen kerana memikiran wabak Covid-19 berpotensi merebak.

Bagaimanapun, beliau menyeru agar masyarakat sentiasa berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga kesihatan masing-masing.

“Ada few program mereka panggil, saya tak berani. Sebab saya fikir nanti nak make up kita akan bersentuhan, nak pakai mic, nak communicate. So I decided to be at home with my family.

“Nak pergi makan kat restoran pun saya belum tentu selamat. Memang kita kena ikut garis panduan tapi kalau kita saja yang ikut garis panduan macam mana?

“Tak semua orang dengar cakap, ramai juga yang degil. Nak lockdown ni pun ambil masa lama untuk semua ikut, betul tak. Kita bila dah berkumpul jumpa kawan-kawan for sure kita akan lupa garis panduan. Stay at home.

“Saya rasa kelonggaran yang diberikan untuk kita ni, gunakanlah untuk buat benda yang paling penting je. For example yang mana rindu dengan keluarga, keluarga ada dekat-dekat sini,” tulisnya di Instragram Story semalam.

Penyanyi dan komposer popular, Faizal Tahir juga dilihat senada dengan Nabila.

“Saya selalu optimis. Tapi anda boleh panggil saya pesimis, tapi saya betul-betul tak yakin dengan ini. Sangat tidak meyakinkan,” tulisnya di media sosial.

Bagi penyanyi muda yang berbakat, Naim Daniel atau Muhammad Naim Daniel Baharin pula, kelonggaran itu bukan peluang untuk masyarakat berseronok dan mengambil mudah terhadap garis panduan yang perlu dipatuhi kerana wabak itu boleh merisikokan nyawa.

Ujar pengalun lagu Sumpah itu lagi, perlu diingat ‘perjuangan’ seluruh rakyat memerangi Covid-19 masih belum berakhir.

“Kita belum menang. Malaysia: Dalam PKP pun ada di antara kita yang degil. Inikan pula jika dilonggarkan. Jangan sampai angka ajal meningkat memanggil. Habis menyesal seluruh badan. Jangan seronok sangat,” kata Juara Anugerah Juara Lagi (AJL) Musim 34 itu.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Jelas beliau, langkah itu penting kerana jika terlalu lama berada dalam PKP akan terputuslah mata pencarian dan ini akan memberi kesan buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing termasuklah pendapatan negara.-MalaysiaGazette