Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pembelian barangan elektrik secara dalam talian telah meningkat empat hingga lima kali ganda dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persekutuan Pengedar Barangan Elektrik, Gan Cheng Swee berkata, keadaan itu dijangka bersifat sementara waktu kerana pembeli masih cenderung untuk “melihat dan menyentuh” produk yang ingin dibeli di kedai.

“Selain itu, kedai fizikal tidak boleh digantikan kerana pengguna juga mahukan perkhidmatan lain termasuk membaiki dan servis selepas jualan,” katanya kepada China Press.

Katanya, alat elektrik bersaiz kecil lebih banyak menerima belian secara dalam talian.

Menurutnya, barangan yang paling laris dalam tempoh PKP termasuk ketuhar, peti ais, televisyen dan mesin basuh baju.

“Disebabkan ramai orang bosan dalam rumah, jadi ada yang memilih untuk membuat kek dan kuih atau menonton televisyen di rumah.

“Disebabkan dobi telah tutup, maka ramai orang juga yang membeli mesin basuh baju pada masa ini,” katanya.

Tambahnya, mesin pencetak juga menunjukkan sambutan baik dalam tempoh PKP kerana ramai yang bekerja dari rumah.

“Untuk alat elektrik bersaiz besar pula, orang ramai masih cenderung untuk melawat kedai.

“Pengguna membeli secara talian dalam tempoh PKP kerana terpaksa dan mereka akan pilih semula kedai selepas ini,” katanya.

Menurutnya, setakat 30 April, hanya kira-kira tiga peratus daripada 2,000 pengusaha kedai alat elektrik telah beroperasi.

Jelasnya, permohonan beroperasi sesetengah kedai telah ditolak kerana lokasi mereka bukan berstatus zon hijau. – MalaysiaGazette