SEKIRANYA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan, penularan penyakit akan terkawal, tetapi kenapa ekonomi perlu dibuka sekarang? Dalam keadaan negara-negara jiran masih bergelut dengan masalah penularan jangkitan, apakah Malaysia wajar membuka ekonomi atau menunggu sehingga tiada kes baharu dan semua kes negara-negara jiran seperti Singapura, dan Indonesia terkawal? Singapura pernah gagal kerana isu kluster pekerja asing dan Hokkaido juga gagal kerana tiada aturan ketat dan kini menyesal kerana membuka ekonomi. Apakah Malaysia sedang mengulangi kesilapan mereka atau sudah ada parameter baharu sebagai taruhan?
Bilakah Covid-19 berakhir, ini tiada siapa pasti. Tetapi kesan ke atas krisis ekonomi dan kemanusiaan amat jelas menanti. Sejarah membuktikan pandemik black death mengambil
masa 5 tahun iaitu sekitar 1347-1351 dan Spanish flu berulang sebelumnya bermula 1916 dan telah menjadi pandemik sekitar 1918-1920, yang membawa kepada krisis ekonomi, politik dan kemanusiaan ketika itu. Memandangkan tiada kepastian bila pandemik akan berakhir, apa pilihan Malaysia jika tidak
membuka sektor ekonomi? Apa langkah perlu diambil sekiranya ekonomi dibuka bagi membendung penularan wabak? Apa pun pilihan, dua risiko iaitu, penularan wabak dan krisis ekonomi sentiasa menanti kesilapan.
Justeru, kepimpinan negara perlu merancang dan menilai sendiri bagi mengelak risiko yang mungkin mengancam. Langkah penting adalah menutup sempadan negara. Ini akan menghalang kemasukan wabak import. Dalam Negara, diperkenalkan Kawalan Pergerakan Terhad Bersyarat yang memerlukan masyarakat meneruskan kehidupan dengan amalan kehidupan baharu.
Kejayaan PKPB membendung wabak adalah bersyarat; prasyarat utama adalah masyarakat perlu berilmu dan berdisiplin. Di Malaysia masyarakat kita masih jauh ketinggalan berbanding Singapura dan Hokkaido baik dari segi pengetahuan mahupun disiplin.
Namun begitu, satu perkara yang mengimbanginya adalah budaya masyarakat kita yang takut dengan undang-undang. Maknanya, kejayaan PKPB amat bergantung kepada tugas
penguasa tempatan dalam memastikan amalan kehidupan baharu dipatuhi. Ekonomi mesti dibuka dan wabak mesti dibendung. Jika gagal salah satunya, Malaysia dijangka menghadapi krisis kemanusiaan yang panjang. Pembukaan sektor ekonomi menunjukkan kerajaan sedang cuba mengambil peluang
kelompongan ekonomi dunia dengan membina ekonomi dalaman untuk berdepan dengan gelombang krisis ekonomi dunia yang hampir pasti.
Tiga kelebihan utama dipertaruhkan:
1) keadaan penularan di Singapura, Indonesia, dan
Filipina yang masih tinggi membuka ruang Malaysia menjadi penyumbang dan penyelamat ekonomi.
2) kerangka kerja kesihatan membendung wabak telah terbukti mendapat pujian dunia sebagai terbaik dan dianggap bersedia membendung kes jika berlaku dan;
3) budaya masyarakat yang takut dengan penguatkuasaan undang-undang.
Paling membimbangkan, yakni selain membantu kesukaran masyarakat tempatan adalah kehadiran ramai pekerja asing yang tidak bekerja dan tidak pula menyumbang kepada ekonomi negara dan mereka juga perlu dibantu menggunakan dana negara. Di Sabah, selain krisis ekonomi, kelewatan pembukaan sektor pembinaan dan perladangan juga akan membawa kepada krisis yang sama, krisis ekonomi dan kemanusiaan. Ini kerana
pendatang asing merupakan pekerja dalam dua sektor tersebut. Bagaimanapun, pembukaan sektor ekonomi perlu diiringi dengan penguatkuasaan PKPB yang ketat tanpa kompromi untuk kita menang dalam usaha menentang corona virus dan kesannya terhadap ekonomi negara.
Andainya ekonomi tidak dibuka, rizab antarabangsa sekitar RM423 bilion yang mampu membiayai import sekitar 8 bulan dan wang simpanan dalam Negara sekitar RM2 trilion akan
terus merosot bagi membayar kos operasi serta membantu rakyat Malaysia yang kehilangan punca pendapatan. Sektor minyak dan gas yang menjadi penyumbang ekonomi negara sudah tidak boleh diharapkan. Ekonomi baharu berasaskan keperluan asas seperti industri makanan dan teknologi digital secara maya akan menjadi tunjang sebenar kelestarian negara dalam amalan norma
kehidupan baharu.
Oleh: Prof Dr. Rosalam Sarbatly
Universiti Malaysia Sabah