Petugas media ketika bertugas di lapangan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengingatkan kerajaan tentang janjinya untuk membaharui atau memansuhkan undang-undang Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang disifatkan mengekang proses perlesenan media dan penerbitan yang lebih bebas.

Menurutnya, selain daripada kebebasan untuk melaporkan, media memerlukan keadaan yang membolehkan ia untuk berfungsi secara efektif demi menjaga kepentingan awam.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu menggerakkan usaha untuk menyokong penubuhan Majlis Media yang menyasarkan kepada penambahbaikan dan pencapaian standard kewartawanan yang lebih tinggi, serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media massa.

“Suhakam menekankan bahawa akses yang saksama kepada maklumat, jaminan kebebasan media dan kewartawanan, serta tertubuhnya Majlis Media yang bebas, akan menjadi petunjuk komitmen Malaysia dalam memenuhi Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat,” katanya sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut pada 3 Mei setiap tahun.

Pada tahun ini, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia membawa tema “Journalism without Fear or Favour”.

Suhakam berkata, baru-baru ini Reporters Without Borders (RSF) melaporkan Malaysia mendahului negara-negara ASEAN lain dan menunjukkan peningkatan ketara dalam kebebasan media setelah mendaki 22 anak tangga dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020, menduduki tempat
ke-101/180.

Skor Malaysia turun sebanyak 3.62 mata kepada 33.12 di mana skor lebih rendah menunjukkan kebebasan media yang lebih baik.

Walaupun peningkatan ini menggalakkan, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mempertingkatkan lagi peranan akhbar dan media di Malaysia kerana media adalah medium penting yang menyumbang kepada hak asasi manusia melalui laporan berkenaan insiden pelanggaran hak asasi rakyat

”Wartawan dan anggota media sering menjadi individu pertama di lapangan dan adakalanya mempertaruhkan keselamatan mereka. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani wabak Covid-19 dilaksanakan, akhbar dan media telah memainkan peranan penting dalam melaporkan maklumat yang tepat dan terkini, dalam masa yang sama memerangi berita palsu dan tidak benar yang boleh mencetus kebimbangan dan kerisauan dalam
krisis ini.

Jaminan perlindungan adalah penting bagi membolehkan wartawan dan penerbit bebas menjalankan peranan mereka, bebas dari rasa takut akan ugutan, ancaman atau tindak balas dari mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast