Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap pada Sidang Media Bagi Pergerakan Antara Negeri Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka akan dituduh berlunaskan undang-undang yang diperuntukkan.

“Ya..berkenaan perkembangan kes itu, kedua dua mereka akan dituduh pada Selasa ini di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya secara ringkas dalam sidang media khas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan dan Taklimat Gerak Malaysia Pergerakan Rentasu Negeri di Bukit Aman petang tadi.

Sebelum ini, kedua-dua individu itu yang disiasat atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dipanggil dan dirakam keterangan pada pukul 10.30 pagi 24 April lalu.

Sehari selepas itu, Huzir mengesahkan kertas siasatan lengkap melibatkan kedua-dua individu itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan di mahkamah.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di ruang Instagram peribadinya dengan kapsyen ‘selepas selesai dengan Menteri Hal Ehwal Agama, Kami ke kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa Datuk Masrizal, Timbalan Menteri.. Bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan Datuk Dr. Masrizal ejak dahulu menjadi Setiausaha Politik kepada Abah@Ahmad ZahidHamidi tidak berapa lama dahulu.A dear Friend to our Family”.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No3) 2020 kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran,” ujarnya.

Sabtu lalu, Huzir memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menuduh anak Presiden UMNO itu di mahkamah dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette