KUALA LUMPUR- Orang ramai digesa untuk memuat turun aplikasi MyTrace bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjejaki kontak sekiranya berlaku kes-kes positif Covid-19 baharu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, aplikasi yang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu membolehkan kerajaan untuk melakukan penjejakan kontak selepas kes positif Covid-19 disahkan berlaku di sesebuah kawasan tersebut.
Jelasnya, MyTrace akan melengkapi aplikasi MySejahtera yang telah dilancarkan sebelum ini.
Ia menggunakan teknologi Bluetooth untuk mengesan kontak kepada individu positif Covid-19.
“Apabila telefon-telefon bimbit pengguna MyTrace berada dalam jarak dekat, telefon-telefon itu akan mengesan gelombang Bluetooth untuk mengesan kehadiran masing-masing.
“Berdasarkan kekuatan gelombang Bluetooth yang dikesan, jarak dan tempoh pertemuan pengguna-pengguna boleh dikenalpasti.
“Data yang dikumpul akan disimpan selama 21 hari di dalam telefon bimbit pengguna.
“Pengesanan kontak (contact tracing) adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang telah dikenalpasti positif Covid19,” katanya semasa sidang media hari ini.
Tambah Ismail Sabri, aplikasi MyTrace hanya mengumpul maklumat pengguna yang telah dirahsiakan (anonymized) dan tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi
Katanya, untuk memastikan keberkesanannya, sasaran penggunaan adalah sekitar 60 peratus pengguna telefon pintar di seluruh negara. Kerajaan amat berharap supaya seramai mungkin rakyat akan memuat turun dan menggunakan MyTrace.
“Sekiranya ada kluster Covid19 yang baru dikesan, aplikasi MyTrace dapat membantu KKM untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin,” katanya lagi.
Aplikasi MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android. Manakala bagi versi iOS pula, ianya boleh didapati tidak lama lagi.- MalaysiaGazette