KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk tidak mengikut langkah kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Menurut Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, negeri itu akan mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat sehingga ia berakhir pada 12 Mei ini.

“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus Covid-19.

“Saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi PKP Tahap 4 yang sedang dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB bermula 4 Mei ini bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

Ia juga selepas mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. – MalaysiaGazette