KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang lesu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Ia juga berasaskan kebajikan rakyat dan perkembangan terkini kes Covid-19 di Terengganu yang bertambah baik.
“Namun, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk membuat perubahan pada PKPB supaya kembali lebih ketat.
“Ia dilakukan sekiranya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tahap rendah dan memberi kesan pada status kesihatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius pelaksanaannya dan terus komited dengan langkah pencegahan terutamanya pematuhan ketat SOP yang akan dinilai dari semasa ke semasa.
“Semua pihak perlu memainkan peranan terutamanya agensi dan jabatan kerajaan.
“Ini termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan setiap keluarga untuk melaksanakan kawalan sendiri dan pematuhan SOP adalah sangat diperlukan.
“Terus tingkatkan munajat kepada Allah SWT agar wabak pandemik ini segera dipulihkan dan kita semua sentiasa dalam perlindungan-Nya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette