Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Cadangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta syarikat-syarikat mengurangkan kebergantungan tenaga buruh dan memberi tumpuan lebih kepada automasi disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, idea Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tidak memberangsangkan dan menunjukkan sikap tidak peduli kepada golongan pekerja di negara ini.

Beliau memberi kenyataan egoistik yang menguris hati kaum pekerja negara ini yang masih berdepan pelbagai implikasi ketika negara masih dilanda wabak Covid-19.

Malah, kenyataan tersebut telah memberi satu isyarat negatif bahawa kerajaan menyokong pengurangan pekerja di sektor dan industri dalam negara sekali gus membangkitkan kemarahan pekerja-pekerja di negara ini.

”Di manakah sikap keprihatinan beliau sebagai wakil rakyat yang sepatutnya membantu kaum pekerja yang terjejas dan hilang pekerjaan pada ketika ini?

”Dengan memberi idea untuk menghapuskan sistem pekerjaan melalui automasi, beliau sebenarnya membuat kenyataan yang tidak tepat pada masanya.

”Sebagai Menteri beliau harus sedar tidak semua industri pekerjaan juga boleh diautomasikan sepenuhnya,” kata NUFAM dalam satu kenyataan hari ini.

Seperti industri penerbangan, bukan semua bahagian boleh beralih kepada sistem automasi penuh kecuali sistem bagasi dan pengeluaran tiket, itu pun tidak semua boleh bergantung kepada automasi yang ada kalanya mengalami masalah teknikal yang akan membawa lebih kerugian kepada syarikat.

”Ambil contoh apa yang berlaku di lapangan terbang KLIA tahun lepas, MAHB dan syarikat penerbangan telah mengalami kerugian besar apabila sistem automasi lapangan terbang itu gagal berfungsi selama beberapa minggu.

”Kita seharusnya mengelak daripada bergantung sepenuhnya kepada sistem digital dan automasi kerana tidak semua boleh membawa kesan positif,” tambah persatuan itu.

Oleh itu, NUFAM meminta, jika Mohamed Azmin tidak ada idea atau kenyataan yang bernas tidak perlu memberi kenyataan yang menyinggung perasaan pekerja-pekerja.

”Sebagai wakil rakyat dan pemimpin yang telah dipilih oleh ramai kaum pekerja, beliau harus bersikap lebih sensitif.

”Adalah lebih baik beliau fokus bagaimana untuk membangunkan semula ekonomi negara dan menambahkan lebih pekerjaan, bukan untuk merosakkan masa depan dan sistem pekerjaan di dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ko bljar tggi pun, bodoh , fhm dulu apa yg di katakn olh mnteri tu…knpa org bodoh mcn ni jadi prsiden kesatuan…

Comments are closed.