Seorang pejalan kaki sedang melalui hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2020 di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan Pengeluaran Umur 50/ 55/60 dan pengaktifan i-Akaun bermula Rabu ini (6 Mei 2020) di cawangan yang terletak di negeri yang melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

Cawangan yang terletak di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak.

“KWSP faham bahawa pelaksanaan PKP sejak 18 Mac 2020 adalah satu langkah yang perlu tetapi kami juga amat bimbang apabila PKP dilanjutkan kerana ia akan menyebabkan perkhidmatan yang memerlukan transaksi bersemuka seperti pengeluaran dan pengaktifan i-Akaun di cawangan akan terganggu.

”Berikutan pengumuman PKPB baru-baru ini, kami ingin mengumumkan penyambungan semula beberapa perkhidmatan ini di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara,” kata Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias.

Bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli dan anggota, KWSP akan mengenakan beberapa syarat yang ketat di cawangan seperti berikut:

A. Bagi mengurangkan risiko pendedahan Covid-19 ke atas ahli dan anggota cawangan hanya menyediakan transaksi yang mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal, iaitu Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 dan pengaktifan i-Akaun;

B. Para majikan tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing;

C. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan ketika hadir di cawangan; dan

D. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman sesawang www.kwsp.gov.my bermula esok, 5 Mei 2020.

”Kami sedar bahawa ramai ahli telah menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap perkhidmatan KWSP sepanjang 1 1/2 bulan yang lalu. Saya berharap mereka memahami bahawa Covid-19 ini telah melenyapkan cara dan kaedah lama bekerja dan memaksa kita untuk menerima realiti baharu iaitu ‘mengurangkan sentuhan, melebihkan jarak’ yang mesti dibiasakan.

”Saya memohon kemurahan hati dan kesabaran ahli agar KWSP boleh beralih kepada norma baharu ini secepat mungkin. Insya-Allah, dalam tempoh yang terdekat, kami akan dapat menyediakan keseluruhan produk kami dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui semua saluran fizikal (cawangan, jangkauan dan kios) serta saluran elektronik (pusat perhubungan, laman sesawang dan mobil),” ujar beliau. – MalaysiaGazette