Logo Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

KUALA LUMPUR – Kaunter Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Khidmat Pelanggannya masih belum mula beroperasi hari ini.

Malah, segala urusan dengan agensi itu hanya lakukan secara dalam talian.

MAIS menerusi kenyataan memaklumkan orang ramai digalakkan untuk terus berurusan perkara berkaitan faraid, hibah atau wasiat dengan melayari laman sesawang www.mais.gov.my.

Katanya, MAIS mengambil maklum mengenai arahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Bagaimanapun, semua urusan Khidmat Pelanggan dan Kaunter Kewangan MAIS masih belum beroperasi pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan itu.

Pada 1 Mei lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dilaksanakan bermula hari ini bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Antaranya yang dibenarkan untuk beroperasi ialah restoran dengan syarat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) perniagaan, aktiviti sukan seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, joging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial. – MalaysiaGazette