Hazani Ghazali

LAHAD DATU – Mangsa culik di perairan pantai timur Sabah oleh kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) dari Selatan Filipina, berpotensi berulang didagangkan, meskipun dibebaskan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu boleh berlaku apabila wujud pihak tertentu iaitu ‘so called negotiator’ mengambil kesempatan untuk mengaut untung daripada pembebasan mangsa.

“Mangsa ini diculik pun tujuannya untuk (penculik) berdagang, kemudian dibebaskan (wang tebusan dibayar), tetapi ada pihak-pihak tertentu yang dikatakan perunding (pembebasan) ambil lagi kesempatan (minta wang tebusan tambahan), kita tidak nafikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peralatan untuk operasi sekatan jalan raya kepada wakil-wakil Ibu Pejabat Polis Daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) serta Angkatan Tentera Malaysia di sini, hari ini.

Hazani dalam pada itu berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima individu dikenal pasti mengetuai kumpulan-kumpulan penculikan dari Selatan Filipina yang merentas sempadan Malaysia-Filipina dan menculik komuniti maritim di ESSZone.

Namun menurutnya, jumlah kewujudan kumpulan penculik itu sentiasa berubah dan tidak tetap kerana sesuatu kumpulan itu boleh menyertai kumpulan lain berdasarkan ‘mutual understanding’ mereka.

“KFRG peluang yang mereka ada untuk untung, ada mangsa, (mereka) culik, penculikan berlaku di mana-mana, dan ESSCom berusaha memperketatkan kawalan bagi menangani jenayah rentas sempadan daripada terus berlaku,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, lima nelayan warga Indonesia yang diculik di perairan Tambisan, Tungku, dekat sini pada Januari lepas, masih berada dalam tahanan kumpulan penculik yang sama, sekali gus menafikan kesemua mangsa diserahkan kepada orang tengah di Jolo, Selatan Filipina.

Lima mangsa culik itu, dikenali sebagai Arsyad Dahlan, 41, La Baa, 32, Riswanto Hayano, 27, Edi Lawalopo 53, dan Syarizal Kastamiran, 29 tahun. – Bernama