KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertai Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) secara dalam talian petang ini.
Ia merupakan penyertaan pertama Perdana Menteri Malaysia di arena NAM sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Sidang Kemuncak tersebut akan dipengerusikan oleh Ilham Aliyev, Presiden Republik Azerbaijan, yang juga merupakan Pengerusi NAM bagi penggal 2019-2022.
Kementerian Luar berkata, tema bagi Sidang Kemuncak ini “Bersatu Menentang Covid-19” bagi mempromosikan solidariti dalam menentang wabak ini.
Sebagai memperingati sambutan Hari Multilateralisme dan Diplomasi untuk Perpaduan Antarabangsa yang disambut pada 24 April 2020 setiap tahun, sidang kemuncak tersebut juga akan menekankan nilai-nilai multilateralisme dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara-negara ahli NAM untuk menentang wabak ini.
Semasa Sidang Kemuncak ini, Muhyiddin dijadualkan menyampaikan kenyataan yang bakal mengetengahkan strategi Malaysia dalam menangani kesan-kesan Covid-19 di peringkat nasional.
”Perdana Menteri juga dijangka menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli NAM dalam mengekang penularan virus Covid-19 dan menentang wabak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sidang Kemuncak ini akan dihadiri oleh ketua negara dan kerajaan negara-negara ahli NAM, yang akan dikenali sebagai “NAM Contact Group”, yang beriltizam untuk mempromosikan perpaduan bagi menentang wabak ini.
Turut serta Tijjani Muhammad-Bande, Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-74; Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, KetuaPengarah Organisasi Kesihatan Dunia (WHO); dan Encik Moussa Faki Mahamat, Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika.
Di samping itu, António Guterres,Setiausaha Agung PBB, juga akan mengambil bahagian semasa sidang kemuncak tersebut dan menyampaikan mesej secara rakaman awal.
Satu deklarasi akan diterima pakai sebagai tanda kesepakatan NAM dalam menggesa hubungan kerjasama yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa bagi menentang wabak Covid-19.
Deklarasi tersebut juga bakal meluluskan penubuhan Pasukan Bertindak NAM bagi mengenalpasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara-negara Ahli NAM dalam memerangi Covid-19. – MalaysiaGazette