BANGI – Jika Ramadan sebelum ini Bangi Sentral di Bandar Baru Bangi dikerumuni pengunjung dari segenap kawasan namun hari ini kompleks itu didapati lengang.

Tidak seperti tahun-tahun lalu, minggu pertama atau kedua Ramadan pastinya dipenuhi dengan pembeli-pembeli yang membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan hari ini namun bilangan pengunjung di sini boleh dikira dengan jari malah jumlah kedai yang dibuka juga masih rendah.

Keadaan itu mungkin juga ada kaitan dengan keputusan berbeza kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di mana Selangor masih belum mahu melaksanakan PKPB hari ini.

Berkemungkinan ramai masih berkira-kira mahu meninggalkan kediaman masing-masing untuk membuat persiapan hari raya kerana tidak dapat pulang ke kampung masing-masing kali ini.

Antara yang masih belum dibuka adalah butik-butik terkenal antaranya Radiusite, butik Rina Salleh, Bella Ammara, Camelia dan Fana Couture.

Kesemuanya masih memaparkan tanda ‘ditutup’ di hadapan premis masing-masing.

Tinjauan MalaysiaGazette bagaimanapun mendapati terdapat beberapa pengunjung yang berada di kawasan itu.

Pengunjung yang memasuki premis di kawasan ini diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung sebelum memasuki premis.

Malah pengunjung juga dikehendaki menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengekalkan penjarakan sosial sebagaimana yang disyaratkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membuka premis perniagaan.

Bagi Pemilik Fana Couture, Azyliana Azam, pihaknya dalam dilema kerana terdapat percanggahan informasi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Memang nak buka butik, tapi niat itu terpaksa ditangguhkan sebab ada percanggahan pendapat diantara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri. Kami tak tahu nak ikut yang mana.

“Penerimaan pembeli juga harus dilihat sebab masih ramai yang tidak puas hari dengan kelulusan oleh pihak kerajaan untuk membolehkan premis perniagaan buka perniagaan masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Justeru itu kata Azyliana, ketidakseragaman antara kedua-dua pihak itu membuatkan peniaga sepertinya tersepit.

“Ramai tak tahu, kami terkesan dengan PKP, mana nak bayar gaji pekerja, sewa kedai. Setakat nak hidup dan bekalan makanan tidak ada masalah tapi bagaimana dengan nasib pekerja-pekerja kami.

“Kalau butik tak buka, bagaimana nak bayar gaji pekerja,” keluh beliau lagi.

Kerajaan pusat hari ini memperkenalkan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan kerajaan bagi mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara serta kepentingan membendung wabak Covid-19.

Selangor pula dalam pada itu memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) bagi mengikut kesesuaian situasi di negeri itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast