Diantara senjata api tiruan dan dibuahsuai yang dirampas ketika sidang media berkaitan isu senjata api dan anggota Polis tidak bergari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Selangor berjaya menumpaskan kegiatan pemilikan senjata api tiruan dan ubahsuai dalam Op Laras Rimba di enam lokasi di Lembah Klang pada 22 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua anggota tentera dari Kem Sungai Besi, antara tujuh lelaki yang ditahan dalam beberapa siri serbuan dan tangkapan melibatkan lima kes di Selangor.

Menurut Noor Azam, kejayaan itu hasil maklumat seorang lelaki yang mendengar bunyi letupan dari arah semak dan melihat dua lelaki keluar sambil menggalas sepucuk senapang di Hulu Selangor.

Katanya, hasil tangkapan itu, pihaknya telah merampas tiga senapang patah buatan sendiri, tujuh senapang gas buatan sendiri, 169 peluru tabur hidup dan lima kotak bebola besi.

Diantara senjata api tiruan dan dibuahsuai yang dirampas ketika sidang media berkaitan isu senjata api dan anggota Polis tidak bergari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020

“Hasil maklumat tersebut, JSJ D9 IPK Selangor telah membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan, melibatkan lima kes di Selangor (Hulu Selangor, Klang Selatan, Shah Alam & Gombak), satu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan dua di Mualim, Perak.

“Hasil tindakan tersebut, pihak polis telah berjaya menangkap tujuh lelaki Melayu berumur antara 33 hingga 51 tahun.

“Tangkapan melibatkan dua anggota tentera, dua pekebun, seorang pemandu lori, seorang kontraktor dan seorang tukang besi,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Menurut Noor Azam, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka dan kini masih dalam siasatan dan kesemua kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit aktif dalam kegiatan pemburuan haram di sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

Ketua Polis Selangor, CP Datuk Noor Azam Jamaludin melihat senjata api tiruan dan dibuahsuai yang dirampas ketika sidang media berkaitan isu senjata api dan anggota Polis tidak bergari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020

“Binatang yang menjadi buruan kumpulan ini adalah babi hutan, rusa, kijang dan ayam hutan.

“Setakat ini tiada sebarang rampasan haiwan dibuat kerana semuanya telah dibahagikan sesama mereka, secara tidak langsung telah menghalau babi hutan,” katanya.

Jelasnya lagi, tukang besi yang ditahan dipercayai individu yang ditugaskan untuk mengubahsuai senjata api dan ia adalah untuk kegunaan pemburuan haram sahaja.

“Senapang ini bukan untuk dijual, sebaliknya untuk kegunaan mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette