Dr Yves Cohen. foto agensi

PARIS – Seorang pesakit yang didiagnos menghidap radang paru-paru pada 27 Disember tahun lalu sebenarnya disahkan dijangkiti Covid-19.

Dr Yves Cohen memberitahu media, ujian saringan yang dibuat ke atas pesakit itu telah diuji dan didapati positif Covid-19.

Pesakit itu, seorang lelaki berusia 50-an yang pulih sepenuhnya, mengatakan dia tidak tahu dari mana terkena jangkitan kerana tidak pernah ke daerah yang dijangkiti.

Keputusan ujian itu menunjukkan Covid-19 telah muncul di Perancis lebih awal daripada yang disangkakan sebelum ini.

Sehingga kini, tiga kes pertama negara itu disahkan pada 24 Januari lalu.

Dua daripadanya pernah ke Wuhan China manakala pesakit ketiga adalah keluarga terapat.

Dr Cohen, Ketua Perubatan Kecemasan Hospital Avicenne dan Jean-Verdier dekat Paris memberitahu penyiar Perancis BFMTV, beliau baru-baru ini telah memeriksa fail pesakit yang dimasukkan dengan gejala seperti selesema pada bulan Disember dan Januari lalu.

Secara keseluruhan, dia telah membuat saringan ke atas 14 pesakit, katanya.

”Kami membuat swab pada hidung yang mana dijalankan untuk diagnosis lain, untuk cuba dan menemui Covid-19.

”Daripada 14 pesakit, seorang positif. Kami menjalankan dua kali saringan untuk memastikan tidak berlaku kesilapan.

”Kali kedua juga positif,” ujarnya.

Dr Cohen telah memaklumkan kepada Badan Kesihatan Nasional (ARS), dan mendesak ahli virologi lain untuk menguji semula ujian swab yang dijalankan di hospital mereka untuk Covid-19.

Laporan lengkap akan dijelaskan pada akhir minggu ini dan akan diterbitkan oleh International Journal of Antimicrobial Agents, tambahnya. – MalaysiaGazette