Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Ketidakseragaman keputusan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri berlaku akibat ada dalam kalangan pembuat dasar yang memandang enteng kewujudan kerajaan negeri.

Sekiranya ada perbincangan teliti di antara kedua-duanya sebelum keputusan dimuktamadkan, sudah pasti ketidakseragaman ini berlaku.

Situasi sekarang ini diumpamakan seperti ‘rumah sudah siap tetapi orang keluar rumah ikut tingkap’, kata Dr Mohammad Khir Toyo.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Negeri Selangor, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pahang yang tidak setuju untuk memulakan semula operasi ekonomi seperti yang diputuskan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara mudah ini menyusahkan rakyat – untuk memilih keputusan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

”Lucunya di negara kita akhir-akhir ini ada kerajaan digelar kerajaan dibentuk ikut tingkap kerana pintunya dirobohkan oleh kerajaan sebelumnya, kini berlaku pula ada orang keluar rumah ikut tingkap walaupun pintunya dah elok.

”Semuanya ini amat menyusahkan rakyat. Kita boleh cari formula untuk pulihkan ekonomi negara tetapi yakinlah dengan saya, tidak akan ada formula untuk menghidupkan orang yang sudah mati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bekas Menteri Besar Selangor itu mengingatkan jangan sampai usaha negara selama lebih sebulan membendung penularan wabak Covid-19 ini jadi sia-sia sahaja.

”…disanjung di seluruh dunia akhirnya jadi bahan tawa dan jenaka mereka. Seperti sahaja mencurah air ke daun keladi.

”Bak kata Menteri Wilayah pasang lampu biru untuk hargai pejuang pejuang barisan hadapan kita sedangkan rakyat dan semua mereka di barisan hadapan mesti duduk di rumah, siapa pula yang mahu melihat lampu biru itu?,” tambahnya.

Mohamad Khir menambah, janganlah dengar guruh di langit, air setempayan kita curahkan dan hujan tak turun kita juga yang kehausan.

Jangan juga kita mensia-siakan pengorbanan semua selama Perintah Kawalan Pergerakan hanya kerana takut kita semua akan mati kelaparan.

Sebaliknya, kita hanya memerlukan sedikit kesabaran untuk memutuskan rantaian Covid-19.

”Saya cukup setuju dengan pendekatan oleh kerajaan-kerajaan negeri teruskan PKP untuk sedikit masa lagi, bersabarlah kemenangan pasti milik kita, jika kita belajar untuk bersabar,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Antara anwar dan tun m siapa sebenarnys yang lebih berpengaruh. Cuba kita buatkan rating populariti. Yang kalah krns tinggslkan dunia politik.

  2. Betol.. Aku setuju pKp di sambung lg sekurang2nya sampai hbs bulan 5 bagi betol2 putus rantaian c19 ni… Bru sehari di longgarkan rakyat keluar mcm x pernah keluar dr rumah… Jangan2 ade lagi yg dijangkiti maka kerajaan akan di persalahkan… Kerana terlalu awal… Sia2 saje pengorbanan barisan hadapan kita…

  3. Rakyat boleh hidup dengan Denggi,HiV dan macam-macam virus, tak akan rakyat tidak boleh hidup dengan Covid19, yang penting rakyat amalkan kebersihan dan penjarakkan sosial, kalau sakit deman kuarantin diri pergi klinik buat ujian Covid19. Masalahnya kita tidak tahu sampai bila vaksin virus ini dijumpai, adakah ia akan jadi seperti virus HIV dan Dengi yang belum ada vaksin. Kalau ia pun virus ini sudah tiada di Malaysia, tetapi di luar sana masih ada, adakah kita tidak akan terdedah dunia luar seperti Korea Utara. Jadi bersedia lah kita merima hakikat.

Comments are closed.