Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap pada Sidang Media Bagi Pergerakan Antara Negeri Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 1.364 juta orang telah memuat turun aplikasi mudah alih Gerak Malaysia setakat 12 tengah malam 4 Mei 2020.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 605,273 orang memohon perjalanan merentasi negeri.

“Orang ramai dinasihatkan untuk log masuk aplikasi mudah alih Gerak Malaysia pada 4, 5 atau 6 Mei dan memberikan alamat asal serta alamat destinasi yang hendak dituju.

“Polis turut memohon kerjasama orang ramai yang berdaftar dengan Gerak Malaysia dan telah mengemaskini versi terbaharu 2.0 aplikasi berkenaan supaya membuat permohonan merentasi negeri dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Huzzir, ia bagi membolehkan polis membuat perancangan dan mengatur penugasan untuk memudahkan perjalanan pemohon mulai 7 hingga 10 Mei mengikut jadual perjalanan antara negeri yang disyaratkan.

Menurutnya, maklumat lanjut mengenai aplikasi itu dan permohonan perjalana antara negeri, orang awam boleh melayari www.gerakmalaysia.gov.my.

“Bagi pengguna IOS (Apple Store) diminta mendaftar permohonan dari 7 Mei 2020 sebelum memulakan perjalanan mengikut jadual yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Untuk makluman, permohonan pergerakan antara negeri juga boleh dibuat secara manual, yang mana pemohon dikehendaki untuk memuat turun “Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” daripada laman web Facebok Polis Diraja Malaysia atau boleh mengisinya di balai polis berhampiran melalui temu janji untuk mendapatkan kebenaran daripada ketua balai tersebut.

“Satu sidang media khas akan diadakan pada 3 petang 6 Mei (Rabu) bertempat di Dewan Theatrette Bukit Aman untuk memaklumkan perkembangan berhubung perkara ini,” katanya. -MalaysiaGazette