Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,840 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersetuju menerima pinjaman di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS dengan jumlah sebanyak RM3 bilion setakat 3 Mei lalu.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan berbanding 3,363 PKS dengan jumlah pinjaman RM1.5 bilion pada 26 April lalu.

Majoriti jumlah ini adalah dari Kemudahan Bantuan Khas, yang mana PKS boleh memohon pembiayaan sebanyak RM1 juta dengan kadar faedah 3.5% dan 80% daripada jumlah pembiayaan itu dijamin.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, untuk Skim Pinjaman Mikro Kredit pula, sebanyak RM132 juta daripada RM700 juta peruntukan yang disediakan telah diluluskan.

Skim ini ditawarkan pada kadar faedah 0% oleh Bank Simpanan Nasional dan Tekun Nasional.

Daripada jumlah ini, BSN telah meluluskan RM90 juta kepada 2,000 PKS mikro dan TEKUN sebanyak RM42 juta kepada 5,000 peserta.

Bagi Program Subsidi Upah pula, sebanyak RM1.9 bilion subsidi upah telah diluluskan sehingga 3 Mei lalu.

Ia memanfaatkan 235,000 majikan dan melibatkan 1.7 juta pekerja, peningkatan daripada 195,000 majikan melibatkan 1.5 juta pekerja dalam laporan minggu lalu.

Tengku Zafrul menambah, mengenai Program e-CAP KWSP ataupun Program Bantuan Majikan Covid-19, sebanyak 10,500 permohonan telah diterima oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan Program Pengekalan Pekerja (ERP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM120 juta lagi.

Penambahan itu menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM240 juta.

Seramai 52,000 pekerja telah diluluskan untuk menerima bantuan sebanyak RM600 sebulan selama enam bulan di bawah ERP. Bantuan ini diberikan kepada pekerja yang diminta majikan bercuti tanpa gaji.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyokong kelangsungan perniagaan dan melindungi pekerjaan rakyat dan dalam kita memasuki Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini,” ujar Tengku Zafrul.

Untuk Geran Khas Prihatin (GKP) kepada PKS mikro pula, permohonan telah dibuka sejak 1 Mei lalu hingga 15 Mei ini.

Kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion, yang mana sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada setiap PKS Mikro yang aktif yang berdaftar dengan Lembaga HAsil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 31 Disember 2019.

Tengku Zafrul berkata, keputusan permohonan itu akan diumumkan pada minggu pertama bulan Jun dan pembayaran dijangka akan dibuat pada hujung bulan Jun.

Selain itu, permohonan untuk skim jaminan pinjaman Danajamin bernilai RM50 bilion juga telah bermula pada 1 Mei lalu. -MalaysiaGazette