Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan hari ini memaklumkan bahawa kes jangkitan wabak Covid-19 di Pulau Pinang semakin menghampiri kes sifar.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan hari ini memaklumkan bahawa daerah Kota Belud, Sabah bebas kes positif kebolehjangkitan Covid-19.

Ini menjadikan bilangan zon kuning berkurangan daripada 80 zon menjadi 79 sahaja.

Dalam pada itu, CPRC turut memaklumkan jumlah zon merah aktif kebolehjangkitan Covid-19 kekal pada paras 10 zon sementara jumlah zon hijau adalah 112 zon.

Sepuluh zon yang masih dikategorikan sebagai zon merah adalah empat di ibu negara iaitu Ibu Kota 156 kes aktif; Batu 90 kes; Kampung Baru 68 kes dan Sri Petaling 42 kes.

Enam lagi zon adalah di Gombak 89 kes, Petaling 51, dan Hulu Langat 45 kes, Kuching dengan 110, Kota Samarahan 46 kes dan Kluang, Johor dengan 62.

Lima negeri masih mencatatkan sifar kes positif Covid-19 iaitu di Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis serta Putrajaya juga sudah bebas daripada penularan wabak itu.

Malaysia mencatatkan 6,383 kes Covid-19, 1,710 daripadanya masih aktif kebolehjangkitan wabak Covid-19.

Sementara itu, sejumlah 4,567 orang sudah pulih dan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, bagaimanapun jumlah kematian meningkat lagi semalam menjadikan jumlah terkini adalah 106 orang. -MalaysiaGazette