Pelanggan menunggu makanan yang dibungkus dengan duduk di kerusi yang telah ditetapkan dengan penjarakan sosial di depan restoran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari pertama bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Briekfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2020

COVID-19 telah menyebabkan kekacauan di seluruh dunia dan kita sedang menyaksikan peristiwa-peristiwa yang belum pernah kita alami sebelum ini. Sebagai tindak balas kepada koronavirus yang menular dengan begitu pantas ini, pemerintah di seluruh dunia telah mengambil pendekatan yang berbeza untuk
mengatasi krisis ini, tetapi dengan satu misi yang sama – untuk mengekang penyebarannya.

Cara kita bersosial, cara kita bekerja, cara kita belajar dan cara kita menjalani kehidupan telah berubah – menyebabkan ramai yang tertanya-tanya bila keadaan akan kembali normal.
Walaupun semua orang kelihatan begitu tidak sabar untuk kembali ke kehidupan normal mereka, namun ada satu perkara yang ramai tidak sedar – banyak perkara tidak akan sama seperti sebelumnya.

Menurut Suzanne Degges-White, seorang profesor pendidikan kaunseling di Universiti Northern Illinois, "Kesukaran yang akan terjadi adalah kehidupan tidak akan lagi sama seperti yang kita ketahui". Setelah wabak ini berakhir, Covid-19 akan mengubah dunia di tempat kerja, perniagaan yang kita jalankan dan cara sistem pengangkutan awam beroperasi.

Dunia akan menjadi tempat baharu yang berbeza yang  mana semua aktiviti perlu dirancang dengan teliti, atau jika tidak, gelombang pandemik yang lebih besar bakal muncul.

Jadi, bagaimanakah wajah dunia selepas Covid-19? Apakah kebiasaan baharu? Dan yang paling penting, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi dunia pasca-Covid-19? Kebiasaan kehidupan yang baharu Selain menjadi pemangkin untuk mempromosi betapa pentingnya penjagaan kebersihan dan protokol pembersihan yang tepat, pandemik ini membuat orang
ramai lebih sedar "bahawa menyentuh sesuatu, bersama-sama dengan orang lain, dan menghirup udara di tempat tertutup adalah berisiko", seperti yang dikatakan oleh Deborah Tannen, seorang pengarang dan profesor linguistik di Universiti
Georgetown.

Berjabat tangan misalnya, merupakan cara sapaan tradisional di kebanyakan masyarakat selama berabad-abad mungkin perlu dihentikan bagi mengurangkan penyebaran virus dari satu orang ke satu orang yang lain. Di dunia baharu ini, kita akan lebih selesa untuk bergaul dengan orang yang kita rapat sahaja. Dalam erti kata lain, kehidupan yang baharu ini akan mengubah
tingkah laku manusia. Dan juga, keperluan untuk menunda dan mengurangkan perhimpunan besar yang melibatkan ramai orang dan berpotensi untuk merangsang penularan penyakit ini
kerana ia akan meningkatkan risiko disebabkan oleh sebilangan besar orang berhimpun untuk jangka masa yang panjang.

Oleh yang demikian, bulan suci Ramadan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia yang jatuh antara akhir April hingga akhir Mei telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar kesihatan dan pihak kerajaan, memandangkan sambutan ini jatuh ketika wabak Covid-19 masih berlanjutan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pembatalan perhimpunan sosial dan keagamaan harus dipertimbangkan dengan serius. Sebagai ganti, alternatif maya menggunakan platform seperti televisyen, persidangan video dan media sosial
boleh digunakan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan.
Ini sangat penting untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka masih dapat melakukan muhasabah diri, berdoa dan berbuka puasa bersama keluarga dan rakan – tetapi dari jarak yang sihat.

Sesungguhnya, Ramadan tahun ini akan berbeza daripada yang sebelumnya dan pastinya akan menimbulkan kesan emosi bagi sesetengah orang. Namun, kita harus ingat bahawa kita sedang menghadapi pandemik global, oleh itu, pelbagai langkah baharu harus dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan semua pihak. Siapa tahu, wabak ini mungkin dapat menyatukan kita semua dengan cara yang berbeza, yang tidak pernah terfikir dek akal kita.

Kebiasaan kerja baharu

Memandangkan pekerja di seluruh dunia diminta untuk bekerja dari jarak jauh dalam usaha untuk melambatkan penyebaran wabak novel koronavirus, rumah telah menjadi tempat kerja sementara serta banyak aktiviti perniagaan telah beralih
secara dalam talian. Dengan kemajuan teknologi pada masa kini, pilihan kerja dari rumah boleh dilaksanakan untuk pelbagai jenis pekerjaan seperti penulis, pengaturcara, penganalisis data dan banyak lagi, dengan menggunakan alat digital untuk
menyokong cara kerja baharu ini.

Menurut pandangan para pemimpin perniagaan, pola kebiasaan kerja baharu ini mungkin akan diterapkan secara kekal terutamanya bagi pekerja kolar putih yang bekerja di pejabat tanpa melibatkan sebarang kerja berat atau fizikal. Seperti yang dikatakan oleh Matt Mullenweg, ketua eksekutif WordPress dan
Tumblr, “Jutaan orang akan menjalani hari tanpa perjalanan yang jauh, atau kerisauan yang teramat kerana tidak dapat berada disamping ahli keluarga yang sedang sakit. Peluang seperti ini mungkin boleh dijadikan sebagai pembaharuan untuk mengubah cara kita bekerja.”

Bagi pekerjaan yang tidak praktikal untuk bekerja dari rumah seperti pekerjaan yang melibatkan operasi barisan hadapan atau kerja lapangan di tapak pembinaan, waktu kerja yang berperingkat dapat dilaksanakan untuk meningkatkan jarak fizikal antara pekerja. Secara ringkasnya, waktu kerja berperingkat adalah satu sistem kerja di mana semua pekerja tidak perlu tiba di syarikat dan pulang ke rumah pada waktu yang sama.

Ia dapat dilaksanakan dengan beberapa cara, misalnya, sekumpulan pekerja boleh datang ke pejabat pada minggu atau hari yang berlainan, atau pada waktu yang berlainan pada hari yang sama. Menurut pakar, sistem kerja seperti ini bukan sahaja sangat efektif untuk menghindari kesesakan lalu lintas tetapi juga sangat praktikal untuk mengekang penyebaran koronavirus pada pengangkutan awam yang sesak dengan pengguna pada waktu puncak. Krisis hari ini merupakan krisis paling serius dalam sejarah moden dengan pergolakan sosial yang besar dan kesan ekonomi berganda.

Walaupun kebiasaan baharu ini mungkin agak sukar untuk disesuaikan, pakar psikologi percaya bahawa manusia pasti akan menemui kebiasaan baharu yang berfungsi untuk mereka dan akhirnya menjadi realiti baru buat mereka – kerana manusia mampu untuk melakukannya.

Oleh: Nurafifah Mohammad Suhaimi, Pembantu Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan
menyeluruh.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast