Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Polis mempergiatkan usaha memburu sembilan warga asing yang telah melarikan diri daripada Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru Kampus (IPG) Bahasa Antarabangsa baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan tiga laporan polis telah dibuat berhubung kejadian warganegara asing melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh penolong pegawai perubatan yang bertugas di pusat kuarantin tersebut.

“Dalam ketiga-tiga kejadian tersebut, seramai enam lelaki warganegara Indonesia dan tiga lelaki warganegara Bangladesh yang bekerja sebagai buruh pembinaan didapati telah melarikan diri.

“Kejadian disedari sewaktu pengadu dan doktor yang bertugas membuat rondaan memeriksa pesakit yang dikuaratinkan di pusat kuarantin tersebut

“Sebaik saja mendapati warganegara asing tersebut tiada di dalam pusat kuarantin, usaha mencari kesemua mereka telah dijalankan oleh anggota polis dan anggota RELA yang berada di situ namun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mazlan, hasil siasatan pihak polis mendapati terdapat pagar yang telah dirosakkan dan dipercayai menjadi laluan mereka melarikan diri.

Menurut beliau, kesemua mereka telah menjalani saringan Covid-19 yang didapati negatif namun perlu dikuarantin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan Polis Kuala Lumpur juga sedang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menggiatkan usaha mengesan warganegara asing yang melarikan diri tersebut.

“Selain itu, tindakan mengawal dan memantau pusat kuarantin tersebut telah dipertingkatkan lagi dengan penambahan jumlah keanggotaan petugas.

Justeru tegas beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342).

Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.-MalaysiaGazette