Nolee Ashilin Mohd Radzi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak akan memperkenalkan SMART Niaga@Perak bagi peniaga di negeri itu mempromosikan produk sempena perayaan Hari Raya Aidilftiri tahun ini.

Inisiatif e-dagang melalui Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) diadakan dengan kerjasama syarikat pengendali platform Shopee Malaysia dan Lazada Malaysia, selain syarikat pengendali bayaran e-wallet, Axiata Digital Ecoda Sdn. Bhd.

Exco kerajaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, e-dagang menerusi aplikasi Boost itu bukan sahaja memberi peluang peniaga mempromosi produk dalam negara, malah merangkumi pasaran antarabangsa.

“Antara produk yang dijual sempena musim perayaan ini ialah pakaian, biskut raya, barang kecantikan dan perhiasan rumah.

“Selain itu, Shopee dan Lazada juga turut menawarkan pelbagai insentif menarik kepada peniaga yang berdaftar menerusi SMART Niaga @ Perak,” katanya yang memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri.

Menurut Nolee Ashilin, Lazada menawarkan pengecualian yuran penyenaraian, yuran komisen serta caj transaksi selama 30 hari di bawah Pakej Kedai Pintar bagi peniaga baharu.

Beliau yang memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia menjelaskan, Shoppe juga menerusi pakej sokongan digitalisasi ‘Shopee Seller’ mengecualikan yuran komisen dan menawarkan baucer RM400, kredit iklan My Ads sebanyak RM200 serta penghantaran percuma bagi pembelian minimum RM19 selama dua minggu kepada peniaga baharu.

Lazada dan Shopee, katanya, akan turut mewujudkan “landing page” khas bagi peniaga di negeri itu terutama yang berdaftar melalui inisiatif SMART Niaga @ Perak.

“Melalui aplikasi Boost pula, peniaga boleh memberikan pilihan bayaran tambahan pembelian tanpa tunai di premis mereka sebagai menggalakkan pembelian dan pembayaran tanpa kontak.

Jelas beliau, pendaftaran SMART Niaga @ Perak boleh dilayari melalui portal Digital Perak https://digital.perak.my/smartniaga dan pendaftaran dibuka sehingga akhir tahun ini. – MalaysiaGazette